SHAH ALAM - Kerajaan akan memperkenalkan sistem memperbaharui Lesen
Memandu Kompeten (CDL) berpandukan tarikh lahir pemegang lesen bermula
pertengahan bulan hadapan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata,
ia bertujuan bagi memudahkan pemandu mengingati tarikh untuk
memperbaharui lesen memandu.
Selain itu, katanya, ia dapat mengurang kes pemegang
lesen tidak aktif, termasuk rayuan bagi memperbaharui lesen memandu yang
telah tamat tempoh melebih tiga tahun.
“Bayaran bagi memperbaharui lesen memandu masih tidak
berubah, bagaimanapun penyelarasan fi akan dikecualikan sekiranya tempoh
tamat lesen sehingga tarikh lahir antara 12 hingga 18 bulan.
“Sekiranya tamat lesen sehingga tarikh lahir antara 19
hingga 24 bulan pemegang lesen perlu membayar tempoh lanjutan bagi
tempoh yang melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan,”
katanya.
Cho Ha berkata, bagi kesalahan lewat memperbaharui
lesen selepas penyelarasan itu dibuat, syarat fi pembaharuan akan
dikenakan mengikut kadar biasa.
Menurutnya, kadar ini dikenakan selaras di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Jalan 1997.
“Bagi mereka yang ingin menambah kelas lesen memandu,
termasuk pembaharuan lesen, tempoh sah lesen akan diselaraskan mengikut
tarikh lahir mereka.
“Pemegang lesen yang tarikh lahirnya 29 Februari,
tempoh sah dicadangkan 28 Februari, manakala tarikh pembaharuan pada 1
Mac, sekiranya mereka enggan menggunakan tarikh tersebut mereka perlu
memperbaharui lesen bagi tempoh empat tahun berdasar tahun lompat,”
katanya.
No comments:
Post a Comment