Thursday, October 20, 2011

16 Nyaris maut

JASIN - Sebuah bas membawa 16 penumpang tidak sempat mengelak lalu merempuh sebuah treler di lorong kiri yang mengalami masalah brek dan rosak tayar belakang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, treler yang berada di lorong kiri mengalami masalah brek dan rosak tayar belakang sedang menghala ke lorong kecemasan.

Menurutnya, bas terbabit tidak sempat mengelak lalu merempuh tepi treler terbabit sehingga menyebabkan dua penumpang wanita yang dipercayai duduk di bahagian hadapan mengalami kecederaan.

“Kemalangan menyebabkan besi tepi treler terbabit tersangkut di bahagian tepi bas itu mengakibatkan pemandu bas dikenali sebagai Raja Chandran gagal mengawal kenderaan lalu terbabas di lorong kanan beberapa meter dari jarak treler berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu treler, Aziz Romzi, 42, yang membawa muatan besi buruk dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru tidak mengalami kecederaan. Hanya pemandu bas terbabit yang cedera dan dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut,” katanya.

Che Suza berkata, dua wanita yang cedera, seorang daripadanya hamil dihantar ke Hospital Jasin, sementara seorang lagi patah kaki kanan menerima rawatan di Hospital Tangkak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Akta 1987 kerana memandu berbahaya menyebabkan kemalangan,” katanya.

Difahamkan, bas yang bertolak dari Melaka Sentral, jam 1.40 dengan 12 penumpang mahu ke Terminal Bas Larkin, Johor Bahru dan selebihnya ke Singapura.

No comments:

Post a Comment