Thursday, October 20, 2011

Sekolah latih cara menipu dikatakan ada di Nigeria

20 Okt 2011

LUAR NEGARA

Sekolah latih cara menipu dikatakan ada di Nigeria

Pelatih dihantar ke negara sasaran termasuk M'sia

KUALA LUMPUR: Lelaki warga Nigeria yang memperdaya mangsa, terutama kaum wanita di Malaysia, dikesan menjalani latihan kemahiran menipu di beberapa sekolah khas yang diwujudkan di beberapa kawasan terpencil di negara mereka sebelum dihantar ke negara sasaran. Siasatan polis di peringkat antarabangsa mendapati ada lebih 10 sekolah melatih penipu diwujudkan di negara itu sejak awal 1990-an bagi memastikan kebolehan menipu mereka mampu diwarisi mengikut peredaran zaman dan sukar ditumpaskan. Kewujudan sekolah menipu itu didedahkan oleh Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Superintenden Victor Sanjos, berdasarkan siasatan pihaknya selepas mendapati ramai warga negara ini diperdaya warga Nigeria sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, sekolah itu hanya menetapkan satu syarat iaitu pelatih hanya perlu tahu berkomunikasi menggunakan komputer dan Internet. 'Pusat itu tidak berkonsepkan sekolah harian atau institusi pendidikan secara terbuka, sebaliknya beroperasi secara sembunyi-sembunyi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa negara itu. Semua latihan dibahagi mengikut jenis penipuan termasuk penipuan popular yang dikatakan mampu mengaut keuntungan lumayan seperti penipuan Internet, Black Money dan menyamar sebagai pegawai polis,' katanya kepada Harian Metro. Encik Victor berkata ada sebahagian 'pelatih' sekolah menipu itu yang berjaya menguasai kemahiran akan dihantar ke negara yang dijadikan sasaran bagi mempraktikkan kemahiran yang diajar. 'Mereka inilah yang akan menjadikan wanita di negara kita sebagai kekasih sebelum diperangkap menjadi mangsa penipuan sama ada dalam jenayah siber atau pengedaran dadah,' katanya. Menurutnya, sekolah menipu itu juga dipercayai menyediakan latihan praktikal kepada pelajarnya mengenai kaedah penipuan Black Money. 'Kaedahnya mudah iaitu bahan kimia khas digunakan bagi mengembalikan keadaan asal wang kertas yang disaluti warna hitam dan Black Money diperkenalkan negara Barat bertujuan menghantar wang ke negara mundur tanpa disedari musuh. 'Malangnya, kaedah yang sama dimanipulasikan sindiket berkenaan bagi menjual bahan kimia khas berkenaan kepada mangsa pada harga yang tinggi,' katanya. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa.

Sumber : Cyberita Online Singapore

No comments:

Post a Comment