Thursday, October 20, 2011

Boria, Francis Light dan Koh Tsu Koon

oleh YUSUF HARUN
10/20/2011 7:55:04 AM


Bayangkan satu senario di mana sebaik sahaja Francis Light menjejakkan kakinya di bumi Pulau Pinang kira-kira 150 tahun silam, ribuan penduduk menyambut beliau dengan persembahan dan nyanyian boria: Lainlah buluh, lainlah parang. Lain dahulu, lain sekarang. Tuan Light sudahlah datang. Kami nak serah, Pulaulah Pinang. Yay!!
Namun hal seumpama ini tidak berlaku dalam sejarah. Malah tidak ada rekod seni persembahan boria itu adalah budaya tempatan melainkan diimport sebagaimana Francis Light itu mengimport dirinya ke Pulau Pinang.
Apa pun catatan sejarah menunjukkan Light menguasai Pulau Pinang setelah memperdayakan Sultan Kedah. Kemunculan beliau bukan sahaja merubah landskap rupa bumi pulau berkenaan, tetapi turut merubah demografi, budaya sosial serta set minda penduduknya hampir untuk selama-lamanya.
Justeru sebab inilah juga barangkali askar-askar Inggeris diarahkan pihak berwajib British
agar mengimport persembahan boria dari India dan memaksa penduduk tempatan ketika itu ubahsuai agar dapat diterima sepanjang zaman kelak sebagai satu budaya tempatan yang lahir dan berasal dari Pulau Pinang.
Itulah kebijaksanaan penjajah. Penipuan tidak semestinya secara langsung, tetapi tidak langsung dan cukup halus. Paling penting, segala penipuan, tipu daya dan putar belit mestilah berkeupayaan kekal untuk selama-lamanya.
Kita tak perlu menyelongkar khazanah sejarah bagi pertahan asal-usul boria kerana ia semacam tidak lagi relevan dalam konteks Pulau Pinang. Ini kerana bagi kebanyakan penduduk Melayu pulau negeri tersebut, hampir semuanya sudah tiada lagi kecuali boria.
Sultan Kedah dan penduduk negeri jelapang padi waktu itu, mempunyai sebab untuk tidak merestui kehadiran penjajah berkulit putih itu. Benarlah dasar penjajah seperti kata pepatah lama, diberi betis, hendakkan paha dan benarlah Light seperti juga macam Belanda - mulanya mendapat seinci tanah, kemudian lama kelamaan habis satu negeri dijadikan tanah jajahan. Tak cukup dengan sebuah pulau, sebahagian tanah besar Kedah juga dijadikan milik mereka dan diberikan nama Province Wellesley (kini Sebarang Perai).
Penduduk Cina di Pulau Pinang tidak kisah sikap Inggeris dan Francis Light kerana kedatangan mereka ke pulau itu adalah untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung kehidupan yang lebih baik.
Orang Melayu sebagai penduduk asal selain kehilangan sumber pendapatan malah mereka kini terpaksa hidup berketuakan Inggeris, bukan lagi Sultan dan harus patuh kepada segala garis panduan dan peraturan hidup yang ditetapkan penjajah pula.
Dalam sekelip mata Sultan dan rakyat Kedah kehilangan sebahagian dari sebuah negeri, di samping itu mereka juga kehilangan kebebasan manakala orang Melayu Pulau Pinang kehilangan sejarah who’s who orang-orang Melayu di pulau itu. Kini dari senarai 20 orang-orang terkenal di Pulau Pinang, tiga empat kerat saja Melayu manakala yang lain-lain, bukan Melayu termasuklah pereka kasut dan juga jaguh badminton.
Sejarah Pulau Pinang hari ini adalah sejarah ketidakupayaan orang-orang Melayu menentang Inggeris yang datang dengan niat hendak menjajah mereka. Seperti umum ketahui negeri itu asalnya milik Kesultanan Kedah tetapi bertukar tangan pada 1786 setelah diserahkan Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa, kepada Inggeris sebagai pertukaran mendapat perlindungan daripada serangan Siam dan Burma. Inggeris bukan saja berjaya menguasainya, pada 11 Ogos 1786, Light menukar namanya kepada Pulau Prince of Wales dan Tanjung mendapat nama Georgetown.
Sejak dari tarikh keramat itu, Kedah bukan saja kehilangan sebuah pearl of the orient atau mutiara timur, Kedah juga kehilangan sumber kekayaan dan lebih perit orang-orang Melayu juga mendapat tuan baru. Maka sejarah juga memperlihatkan bagaimana Pulau Pinang yang mulanya dihuni orang Melayu, mula menerima kemasukan orang Cina dan India dan akhirnya orang Melayu kekal sebagai kaum minoriti di situ.
Hakikatnya, bukan orang Melayu tak mahu memperbaiki diri dan masyarakat tetapi tekanan serta penindasan seperti berjadual. Bahkan isu yang sering dijadikan hantu menakut-nakutkan pengundi Cina ialah Umno mahukan semula jawatan Ketua Menteri. Pilihan Raya Umum ke-13 dilihat sebagai berakhirnya kekuasaan calon Cina sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan selepas tarikh itu, calon Umno bakal ambil alih.
Oleh itu, orang Cina tanpa mengira fahaman politik dan parti yang ditunjangi akan berdiri mempertahankan status quo. Pulau Pinang dilihat kini milik mereka selama-lamanya dan jawatan Ketua Menteri pun dianggap hak mutlak yang tidak boleh ditawar menawar lagi.
Hari ini sesiapa yang berjalan di Penang Road ataupun berada di Batu Maung tentu akan mendengar orang bercakap mengenai politik tempatan. Selain bercakap tentang betapa angin perubahan mulai bertiup melepasi jambatan Pulau Pinang, mereka juga bercakap mengenai masa depan Tan Sri Koh Tsu Koon. Ramai mahu melihat Pulau Pinang diperintah oleh Ketua Menteri baru, bukan Guang Eng dan Tsu Koon.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak macam ada bola kristal yang selain dapat melihat, boleh membaca apa tersirat dalam hati penduduk tempatan. Maka pengumuman Najib bahawa Umno tidak akan menuntut jawatan Ketua Menteri walaupun BN kembali memerintah mengandungi maksud tersirat. Mungkin kenyataan Najib membuatkan masyarakat Melayu, buat masa ini, terkilan namun jangka panjang, orang-orang Melayu di pulau itu akan nampak hakikat tersirat.
Pendek kata Najib bukan boleh dibuai dengan lagu-lagu boria semata-mata. Ada perkara yang lebih besar dan signifikan bermain di fikirannya. Dan ia bukan lagi dalam bentuk Francis Light jelmaan, atau Koh Tsu Koon jadi-jadian, tetapi dalam erti kata lebih saksama kepada semua.

No comments:

Post a Comment