Saturday, October 22, 2011

Zamri pamer aksi mantap

PELUANG kedua yang diberikan kepada Mohd Zamri Baba untuk bersaing di Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia Shell Advance menerusi tiket wild card nyata tidak disia-siakan begitu saja apabila dia mencatatkan masa memberangsangkan pada sesi latihan bebas semalam.
Mohd Zamri yang bersaing dalam kategori Moto2, mencatatkan masa 2 minit 10.598 saat pada sesi latihan kedua untuk menduduki tempat ke-26 daripada 39 pelumba, 0.5s lebih pantas berbanding catatan masa sesi latihan kedua tahun lalu.

Pelumba berusia 28 tahun itu jelas dilihat amat selesa mengendalikan jentera Moriwaki yang baru apabila pada satu ketika berada dalam kelompok 20 pelumba terbaik.
“Hari ini (semalam) saya melakukan sesi latihan dengan menguji dua jenis tayar berbeza yang tidak pernah digunakan pada mana-mana saingan sebelum ini.

“Krew pasukan akan menganalisis tayar manakah yang paling sesuai untuk saya gunakan pada pusingan kelayakan esok. Yang pasti cengkaman kedua-dua tayar ini amat bagus.

“Dan secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi saya kerana dapat melakukan catatan masa lebih pantas berbanding tahun lalu,” katanya yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 pada musim lalu.

Sementara itu, rakan sepasukan Mohd Zamri yang juga beraksi menerusi tiket wild, Hafizh Syahrin Abdullah menduduki tempat ke-33 dengan catatan 2:11.321s yang dilakukan pada sesi latihan bebas kedua.

Mengulas prestasinya semalam, Hafizh mengakui dia agak tertekan dan gementar apabila turun beraksi pada sesi latihan bebas semalam.
MyMetro 22 Okt 2011

No comments:

Post a Comment