Thursday, October 20, 2011

Lima lelaki menyamar polis larikan muatan getah beku bernilai RM300,000

KUANTAN - Lima lelaki yang menyamar sebagai anggota polis melarikan sebuah lori memuatkan getah beku bernilai RM300,000 dalam kejadian samun di sebatang jalan di Kawasan Perindustrian Benus, Bentong, semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku kira-kira 2.40 pagi ketika lori itu dalam perjalanan dari Kelantan ke Jelebu, Negeri Sembilan.

"Lori tersebut diberhentikan di tepi jalan kerana pemandunya mahu membuang air kecil. Tidak lama kemudian sebuah kereta Proton Waja berhenti di depan lori itu sebelum dua lelaki keluar dan mengaku mereka polis serta berpura-pura hendak memeriksa air kencing mangsa," katanya.

Salah seorang daripada suspek kemudian meletakkan pisau di leher pemandu lori itu serta memaksanya masuk ke dalam kereta terbabit di mana terdapat tiga lagi lelaki.

Dua daripada suspek kemudian ditinggalkan bersama kelindan berusia 30an itu, manakala pemandu lori berusia 41 tahun tersebut dibawa dengan kereta menuju ke Karak, katanya.

Suspek bagaimanapun berpatah balik selepas mendapati ada sekatan jalan raya sebelum menuju ke Jalan Lama Gombak-Genting Highlands dan meninggalkan mangsa di Km 16 jalan berkenaan.

Noor Asyikin berkata tidak lama kemudian kesemua suspek tiba di tempat mangsa ditinggalkan bersama kelindan lori terbabit sebelum melarikan diri dengan kereta dan lori yang memuatkan 20 tan metrik getah beku berkenaan.

"Kedua-dua mangsa yang tidak dicederakan bagaimanapun menahan kereta orang awam yang melalui jalan itu yang menghantar mereka ke Balai Polis Gombak," katanya.

Noor Asyikin berkata polis kini menjejaki suspek dan berusaha mengesan lori jenis Nissan bernombor pendaftaran KCJ 8258.

No comments:

Post a Comment