KUALA KANGSAR - Niat baik seorang jurujual kereta memberi peluang kepada
pelanggannya memandu uji kereta yang hendak dijual bertukar mimpi ngeri
apabila beliau turut dibawa lari bersama kereta berkenaan.
Mangsa, Haslan Mat Yunus, 30, dilarikan penjenayah sejauh kira-kira
200 kilometer dari Sungai Petani hingga ke Kuala Kangsar setelah ditipu
seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan.
Mangsa dilarikan ketika sesi memandu uji menggunakan laluan
Lebuh Raya Utara Selatan tetapi berjaya melarikan diri daripada
penjenayah berkenaan di Padang Rengas.
Haslan berkata, pada jam 11.10 pagi dia didatangi seorang lelaki lingkungan 40 tahun mahu membeli kereta.
Menurutnya, dia tidak menaruh syak ketika membawa lelaki itu
memandu uji kereta jenis Honda Accord warna hitam sehinggalah lelaki itu
memasuki lebuh raya.
“Saya melayan lelaki itu seperti biasa dan membawa kereta ke
stesen minyak untuk mengisi petrol sebanyak RM10 tetapi lelaki itu
menambah lagi bayaran sebanyak RM20 kerana mengatakan ia tidak
mencukupi.
“Selepas itu lelaki berkenaan tiba-tiba melencong ke lebuh raya dan saya mula sedar lelaki itu ada niat tidak baik.
“Dia juga mengugut saya supaya berdiam diri dengan menunjukkan sepucuk pistol dan gari. Pada baju yang dipakainya ada logo PDRM.
“Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana terkejut dan takut
sehinggalah tiba di Padang Rengas jam 2.30 petang,” katanya kepada
pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis
Padang Rengas di sini, semalam.
Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Sungai Petani itu,
bernasib baik kerana dapat melarikan diri ketika kereta berhenti
berhampiran Taman Utama, Padang Rengas, sebelum terserempak anggota
polis.
“Ketika dalam perjalanan, lelaki itu berhenti di kawasan Rehat
dan Rawat (R&R) Bukit Gantang untuk mengisi minyak tetapi saya takut
untuk melarikan diri kerana dia bersenjata.
“Ketika tiba di Padang Rengas, saya diturunkan dan diarah untuk
bertemu seorang kenalan lelaki berkenaan tetapi saya terus melarikan
diri.
“Secara kebetulan, terdapat anggota polis peronda di kawasan itu
dan mereka membawa saya ke balai polis berhampiran untuk membuat
siasatan.
“Selepas membuat laporan, saya terpaksa menunggu majikan datang
mengambil saya di sini sebelum membuat satu lagi laporan di Sungai
Petani,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Daerah Kuala Kangsar,
Superintendan Abd Gaffar Mohammad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian
itu.
“Kes berkenaan ada dilaporkan di Balai Polis Padang Rengas
tetapi kini ia di bawah siasatan Balai Polis Sungai Petani,” katanya.
No comments:
Post a Comment