Thursday, October 20, 2011

Negeri Sembilan Mesti Fokus

SKUAD Hoben Jang Hoben diminta memberi persembahan terbaik untuk menghiburkan penyokong pada pertemuan kedua peringkat separuh akhir Piala Malaysia menentang T-Team di gelanggang sendiri Sabtu ini, lapor SYAMILAH ZULKIFLI.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemain tidak sewajarnya berasa selesa dengan kemenangan 4-2 pada pertemuan pertama di Kuala Terengganu, kelmarin.

“Setiap pemain perlu mempamerkan aksi terbaik pada pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini bagi memastikan impian layak ke pusingan akhir tercapai.

“Kualiti permainan harus ditingkatkan walaupun kita berjaya me-nundukkan T-Team di gelanggang mereka sendiri sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas mempe-ngerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. di sini, semalam.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah mencatat kemenangan selesa keatas T-Team.

Lupakan soal ganjaran: Azraai


“Saya mahu pemain tolak tepi soal ganjaran. Perlawanan masih berbaki 90 minit.

Itu reaksi Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang T-Team, Sabtu ini.

Katanya, pemain perlu fokus walaupun dilihat membawa bekalan: selesa di Paroi selepas menang 4-2 di Kuala Terengganu, kelmarin.

“Buat masa ini perkara tersebut masih belum difikirkan lagi. Apa yang penting, lakukan tugasan dengan cemerlang, ganjaran pasti akan datang kemudian,” katanya.

Mengulas perlawanan di Kuala Terengganu, Azraai ternyata berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya.

“Bukan senang untuk kami bermain di tempat lawan. Namun perasaan gusar itu terubat: apabila kami berjaya menundukkan T-Team.

“Saya akui ia satu perlawanan yang sengit,” katanya.

Sementara itu, Azraai akan menggunakan strategi sama apabila melayan kunjungan anak buah Yunus Alif di Paroi.

“Saya boleh memilih untuk bermain secara bertahan. Tetapi corak permainan seperti itu bukanlah pilihan utama saya tidak kira dengan pasukan mana sekalipun.

“Saya beri jaminan skuad Rusa akan aplikasikan taktik menyerang,” katanya.

Kali terakhir Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia pada 2009, manakala tahun lalu skuad Hoben Jang Hoben sekadar naib juara selepas tumpas kepada Kelantan 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.


No comments:

Post a Comment