Thursday, October 20, 2011

Kereta terbakar selepas 12 hari beli

TUMPAT – Belum puas memandu kereta baru, seorang kakitangan awam terpaksa reda apabila kereta jenis Honda Civic yang baru dibelinya 12 hari lepas terbakar, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam di Kampung Pohon Pulai, Bunohan, di sini, kereta milik Azmi Mamat, 41, hangus di hadapan rumahnya menyebabkan kerugian RM90,000.

Azmi berkata, dia baru lima kali menaiki kereta tersebut selepas dibelinya pada 6 Oktober lepas, tetapi dalam sekelip mata ia musnah.

Menurutnya, ketika kejadian itu berlaku, dia menonton siaran langsung di televisyen perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di rumah bersama rakan, abang dan bapanya.

“Saya langsung tidak menyedari kejadian tersebut kerana leka menyaksikan siaran langsung perlawanan bola itu. Nasib baik anak saudara datang ke rumah selepas disuruh ibu saya menghantar cucur pisang.

“Ketika itulah dia ternampak asap datang dari arah kereta saya ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, dengan tergesa-gesa dia keluar melihat keretanya tetapi api sudah merebak membakar kereta tersebut.

“Tanpa berlengah saya cuba memadamkan kebakaran tersebut menggunakan air untuk mengelakkan ia lebih teruk.

“Hasil bantuan rakan dan penduduk kampung api tersebut berjaya dipadamkan,” katanya.

Azmi berkata, walau pun kereta itu musnah tetapi dia bersyukur kerana api tersebut tidak merebak ke rumahnya.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Mohd Romzi Wan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan 10.21 malam dan terus ke tempat kejadian bersama tujuh anggota memadamkan kebakaran tersebut.

No comments:

Post a Comment