AMPANG – Seorang guru wanita mendakwa dibelasah hingga hampir pengsan
oleh seorang jiran lelakinya yang naik angin selepas mereka bertengkar
berhampiran rumahnya di Taman Cheras di sini, Isnin lalu.
Fiza, 31, yang mengajar sukarela di sebuah pusat tahfiz memberitahu,
jirannya itu secara tiba-tiba bertindak ganas membelasahnya sedangkan
pertengkaran hanya mengenai kemalangan kecil melibatkan kereta mereka
berdua.
Menceritakan kejadian itu Fiza berkata, pada kira-kira jam 6 petang, dia
memandu keretanya selepas pulang mengajar dan kebetulan jirannya
berusia lingkungan 30-an itu juga sedang memandu kereta di depannya.
“Tiba-tiba dia undur kereta dan rempuh bahagian hadapan kereta jenis
Proton Persona milik saya. Saya keluar dari kereta untuk selesaikan
masalah kerana kereta saya calar tetapi dia marah saya, sambil cabar
supaya ambil tindakan undang-undang sekiranya saya tidak puas hati.
“Ketika saya hendak hubungi polis, dia secara tiba-tiba bertindak ganas,
menumbuk muka saya sehingga berdarah, kemudian memukul saya
berkali-kali dan terajang peha saya,” katanya ketika ditemui di
rumahnya, semalam.
Menurutnya, selepas dibelasah bertalu-talu, dia hampir pitam akibat
kesakitan tetapi jiran yang disifatkannya naik angin tidak tentu pasal
seperti orang gila itu terus menerus memarahinya sambil memaki hamun
dengan kata-kata kesat.
Fiza berkata, lelaki yang tinggal berjiran dengannya sejak 2001 itu juga
bertindak ganas dengan menendang bahagian tepi keretanya sehingga
kemek.
Menurutnya, penderitaan dibelasah jiran itu berakhir selepas seorang
jirannya yang lain datang membantu, sekali gus meleraikan pergaduhan
mereka berdua.
Katanya, kira-kira setengah jam selepas kejadian itu, dia kemudian
membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah sebelum pergi ke Hospital
Ampang untuk mendapatkan rawatan.
“Saya memang tidak sangka jiran saya boleh bertindak ganas terhadap
wanita. Saya sangat terkejut dengan kejadian ini dan masih trauma
apabila terkenangkan peristiwa itu,” katanya.
Menurutnya, sehingga sekarang jirannya itu masih belum memohon maaf atau mahu menyelesaikan kejadian itu secara baik.
Fiza berkata, dia bercadang mendapatkan khidmat nasihat peguam berhubung
insiden itu sebelum mengambil tindakan undang-undang di mahkamah.
No comments:
Post a Comment