Thursday, October 20, 2011

PM Thai: Bersatu tangani banjir

LUAR NEGARA

PM Thai: Bersatu tangani banjir

Parti politik yang bermusuhan digesa bekerjasama

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Yingluck Shinwatra, semalam menggesa semua parti politik yang bermusuhan bersatu dan bekerjasama menangani banjir terburuk yang pernah melanda negara itu dalam tempoh berdekad. Gesaan itu dibuat sedang penduduk Bangkok diarahkan terus berjaga-jaga kerana ibu kota itu masih berdepan risiko dilanda banjir. 'Hari ini, saya akan berterus terang. Saya telah melakukan semua yang terdaya tetapi saya tidak dapat menyelesaikannya sendiri. Saya perlukan kerjasama semua pihak,' kata Cik Yingluck dengan mata yang bergenang kepada wartawan. 'Mari kita ketepikan perbezaan politik. Kita harus berusaha mengembalikan semangat rakyat,' tambahnya. Para pengamat berkata gesaan itu ditujukan kepada anggota parti pembangkang, Parti Demokrat.
Pihak berkuasa di Bangkok kini bertungkus lumus mengukuhkan lagi benteng beg-beg pasir bagi mengelakkan ibu kota yang didiami 12 juta penduduk itu daripada turut dilanda banjir. Gabenor Bangkok, Encik Sukhumbhand Paribatra, semalam memberi amaran tujuh daerah di utara dan timur Bangkok mungkin dilanda banjir ekoran benteng pecah. Beliau telah menasihatkan para penduduk di kawasan itu agar mematikan semua alat elektrik, memindahkan harta benda mereka ke kawasan lebih tinggi dan mengkaji pelan pemindahan yang dilakarkan oleh pihak berkuasa. Encik Sukhumbhand dari Parti Demokrat berkata para penduduk hanya mempunyai masa 24 jam sebelum banjir tiba. Amaran ini bertentangan dengan kenyataan awal kerajaan pusat yang berkata ibu kota itu tidak akan diancam banjir memandangkan air banjir dari wilayah utara dan tengah telah mula surut. Di daerah Sai Mai di Bangkok, para penduduk secara sukarela membantu askar meletakkan 1.2 juta beg pasir di sepanjang benteng sejauh 6 kilometer. 'Apabila gabenor (Bangkok) berkata kita hanya mempunyai 48 jam, saya rasa saya tidak boleh berdiam diri saja dan tunggu air banjir tiba. Justeru, saya ambil cuti kerja sehari dan menghulurkan khidmat sukarela,' kata Encik Suriya Termchoksap, 39 tahun, yang membantu membina benteng banjir. Buat masa ini, sepertiga atau 27 daripada 77 wilayah di Thailand masih terjejas oleh banjir, dengan korban jiwa telah meningkat kepada 317 orang. Menteri Pertanian dan Kooperatif semalam berkata banjir yang melanda sejak Julai lalu telah memusnahkan sekitar 1.6 juta hektar ladang di 65 wilayah. -- AFP, AP, Reuters.

No comments:

Post a Comment