Saturday, October 22, 2011

Tak mengaku seludup rokok RM224,600

JASIN: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan menyeludup 14,500 karton rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM224,600, pertengahan bulan ini.
Tan Suan Kuang, 39, dari Kuantan, Pahang, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusoff.

Mengikut kertas tuduhan, Tan didakwa mengangkut barang larangan import iaitu rokok pelbagai jenama bernilai RM224,600 menggunakan sebuah lori di Kilometer 203, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala ke Utara di Ayer Keroh, kira-kira jam 7.05 pagi, 14 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM4,492,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dari Unit Pendakwaan, Zalliza Arip menawarkan tertuduh jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan dengan alasan masih menyara seorang anak.

Siti Suriatey kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dan menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

No comments:

Post a Comment