Berteks atau tidak, khutbah Datuk Dr Hasan Mohamed Ali di Shah Alam baru-baru ini memang membakar semangat.
Nada suaranya turun naik bagaikan dilambung ombak, lantang dan penuh emosi.
Yang penting mesejnya jelas. Sudah hampir dua minggu khutbah itu
berlalu, tajuknya (iaitu, bahaya gejala murtad) dan isinya (setiap
individu Islam, daripada pemimpin hingga ibu bapa, perlu memainkan
peranan berkesan memeranginya), masih mengiang-ngiang di telinga.
Itu keistimewaan Exco Selangor itu; beliau pun memang sudah terkenal sebagai motivator dan pemidato yang baik.
Tetapi, alangkah indahnya jika khatib di setiap masjid dapat
menyampaikan khutbah dengan baik. Bukan sahaja ia boleh mengelak jemaah
terlelap, tetapi mesejnya menusuk jiwa untuk dihayati dan diamalkan.
Itulah masa dan tempat untuk mesej disampaikan sebaik mungkin kerana
masa itu ribuan orang Islam, termasuk yang jarang berjemaah dan jarang
mendengar ceramah di masjid, berhimpun mendengar apa yang disampaikan
untuk menjadi makanan rohani.
Sama-sama kita doakan. Keadaannya kini bergerak ke arah itu. Di banyak
masjid, sudah ramai imam dan khatib begitu; hasil tindakan semakin ramai
ibu bapa yang condong kepada menjadikan anak mereka hafiz dan ulama.
Keadaannya ketara, terutama pada bulan Ramadan. Kita lihat di banyak
masjid dan surau, tarawihnya dipimpin imam hafiz, muda belaka; keluaran
pusat hafalan dalam dan luar negara.
Di surau tempat saya, keadaannya cukup terkawal. Tiga orang secara rasmi
bergilir-gilir menjadi imam. Hafiz atau tidak, bacaan mereka memuaskan.
Lebih menarik, andai kata imam lambat, yang lain boleh jadi imam.
Alangkah baiknya jika kerjasama dan tolak-ansur seperti itu dapat wujud
di semua masjid dan surau.
Tidak ada sabotaj, buruk sangka, apa lagi merebut tongkat dan tempat imam.
Pergaduhan antara imam dan imam atau antara imam dan jemaah sampai melibatkan laporan polis tidak patut berlaku.
Malangnya, anda dan saya tahu, macam-macam berlaku di setengah masjid dan surau.
Sebutan yang salah, terutama apabila melibatkan perkataan pelik bukan perkara luar biasa.
Rasanya berlaku di banyak tempat, tapi yang saya ingat masa ini adalah
teguran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, tidak lama
selepas mengumumkan kenaikan elaun 2,194 imam dan bilal masjid kampung
di seluruh negeri itu.
Menurutnya, ada sesetengah imam tidak meneliti teks khutbah dan inilah
yang selalunya membuat mereka tidak lancar masa membaca ketika
berkhutbah.
Ada imam salah menyebut perkataan tertentu, khususnya diambil daripada bahasa Inggeris.
HINI, umpamanya, disebut ‘hini’.
Di sebuah masjid baru-baru ini, seorang khatib mengejutkan jemaah.
Beliau memberitahu mereka: Kita semua kemetot’, menyebut perkataan yang
dibaca dalam teks tulisan jawi.
Jemaah tersentak dan terdiam; macam tidak percaya dengan apa yang mereka
dengar.
Khatib terdiam beberapa saat. Wajahnya macam mencari talian hayat.
Seorang ahli jawatankuasa masjid menghampirinya. Barangkali, dia
memberitahu khatib itu: “Itu komitedlah tuan, bukan kemetot!."
“Kita semua komited,” kata khatib, selamba meneruskan khutbahnya. Jemaah berasa lega. Mereka bukan ‘kemetot’ rupanya.
Barangkali ia lucu, tetapi ini adalah bibit-bibit yang boleh menimbulkan
perpecahan akibat perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat dan
jawatankuasa masjid dan surau.
Imam dan khatib memainkan peranan yang sangat penting dalam kalangan
masyarakat.
Sekiranya kesilapan dan ketidaklancaran penyampaian khutbah atau bacaan
dalam solat dianggap perkara biasa dan dipandang remeh, lama-kelamaan ia
akan bersarang dalam dada dan menimbulkan pertelagahan. Apa lagi kalau
melibatkan ketidaksefahaman politik.
Saya masih ingat kes seorang tok guru yang didakwa di mahkamah di
Kampung Raja, Terengganu, 30 tahun lalu, kerana keluarkan ‘fatwa’.
Antaranya, orang sebuah parti lain tidak boleh dijadikan imam dan sembelihan mereka haram.
Mahkamah mendapati tok guru itu bersalah dan dikenakan hukuman, tapi
apakah isu kafir-mengkafir, dua imam dan boikot majlis kenduri yang
berlaku selepas itu akibat daripada ‘fatwa’ tok guru tadi, saya tidak
pasti.
Tetapi yang saya pasti, kesannya kekal, sekurang-kurangnya dalam ingatan yang mendengarnya, hingga ke hari ini.
Jadi, kita semua perlu komited untuk kekalkan keamanan dan kesejahteraan. Ini negara kita, tanah tumpah darah kita.
|
No comments:
Post a Comment