Saturday, October 22, 2011

Baddrol benam cabaran Mynmar

PEMAIN gantian, Baddrol Bakhtiar pencetus kebangkitan skuad bawah 23 tahun negara ketika menewaskan Myanmar 2-1 pada perlawanan kedua kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di Stadium My Dinh, Hanoi semalam.
Malaysia yang ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan Kyaw Ko Ko bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol penyerang Syahrul Azwari Ibrahim dan Baddrol.

Kemenangan itu melegakan pengendali negara, Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya tumpas 1-3 kepada Uzbekistan dalam perlawanan pertama Rabu lalu.
“Saya tidak menurunkan enam pemain utama hari ini kerana mahu memberi peluang kepada yang lain untuk beraksi. Saya hanya menurunkan kesebelasan pilihan ketiga kita dan ternyata persembahan mereka tidak menghampakan, kecuali sedikit gugup di awal permainan sehingga membenarkan Myanmar menjaringkan gol.


“Apabila Baddrol dan Gary (Steven Robbart) masuk, barulah pemain lain mendapat keyakinan dan beraksi lebih baik sehingga bangkit menang,” katanya.

Pada perlawanan itu, kapten, Khairul Fahmi Che Mat terus direhatkan dengan Mohd Izham Tarmizi masih mendapat kepercayaan mengawal gawang negara manakala K Gurusamy ditugaskan mengetuai barisan skuad ‘ujian’ Kim Swee.

Myanmar yang dibelasah pasukan tuan rumah 5-0 pada perlawanan pertama, mengejutkan Malaysia menerusi rembatan Ko Ko pada minit ke-17.

Skuad negara hampir menyamakan kedudukan namun Syahrul Azwari yang mengambil tempat Izzaq Faris Ramlan di bahagian serangan mensia-siakan peluang dengan melepaskan rembatan liar pada minit ke-31.
Bagaimanapun Malaysia bangkit pada babak kedua apabila lorongan pemain sayap Mohd Fandi Othman berjaya ditolak masuk Syahrul Azwari di minit ke-54 sebelum Baddrol merembat gol kemenangan pada minit ke-85.

Perlawanan terakhir skuad negara ialah menentang tuan rumah, Vietnam esok yang dianggap sebagai perlawanan ulangan final Sukan Sea Laos 2009 yang dimenangi Malaysia 1-0.

MyMetro.22 Okt 2011

No comments:

Post a Comment