Thursday, October 20, 2011

Malaysia meniti laluan sukar

MALAYSIA bakal berdepan laluan sukar pada temasya Sukan Sea 2011 Jakarta bulan depan apabila diundi bersama Indonesia, Singapura, Thailand dan Kemboja bagi acara bola sepak, di sini semalam.

Undian itu juga dilihat sedikit memberikan tekanan hebat buat Ong Kim Swee bagi mengulangi pencapaian diraih skuad negara ketika dibimbing Datuk K Rajagobal pada temasya dua tahun lalu di Laos.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, tugas berat menanti pasukan bola sepak negara, namun dia optimis pemain negara mampu mengungguli saingan Kumpulan A.

“Jika pemain didedahkan dengan strategi betul, saya yakin mereka mampu mengulangi kejayaan dua tahun lalu. Tidak dinafikan, apabila kita memegang status sebagai juara bertahan, tekanan tetap ada kerana pasukan lain semestinya berkira-kira tekad menumpaskan pasukan Malaysia,” katanya di MSN, Bukit Jalil.

Pertandingan bola sepak akan dijalankan di Jakarta itu akan berlangsung di Stadium Utama Bung Karno dan Stadium Lebak Bulus.

Sementara itu, Razali memberitahu, pihaknya mengenalpasti beberapa kelemahan untuk diatasi dalam mencapai sasaran melayakkan diri pada Kejohanan Piala Dunia Remaja Bawah 17 pada 2019.

“Program MyKid Soccers bawah 12 tahun akan diwujudkan di 14 pusat setiap negeri dan sebanyak 112 jurulatih akan ditenpatkan seluruh negara.

“Pasukan inilah yang akan membawa cabaran negara B17 pada tahun 2019 kelak,” katanya.

No comments:

Post a Comment