Thursday, October 20, 2011

Dua pekerja hospital digantung tugas sebab tersilap beri darah


KUALA LUMPUR: Dua kakitangan perubatan digantung tugas kerana tersilap memberi darah ketika melakukan pemindahan darah di dua hospital baru-baru ini.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kementeriannya mempunyai protokol yang ketat dalam soal pemindahan darah dan beliau berharap agar kejadian seumpama itu tidak berulang. 'Kedua-dua kakitangan berkenaan digantung tugas kerana mereka tidak mengikut prosedur yang ditetapkan ketika melakukan pemindahan darah,' katanya yang ditukil laman berita mStar Online semalam. Datuk Seri Liow berkata dua kejadian tersebut berlaku di Pulau Pinang dan Kajang dan bukannya berpunca daripada kesilapan Pusat Darah Negara (PDN). Beliau turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa darah yang diperolehi daripada PDN adalah 'benar-benar selamat' digunakan dan kementeriannya akan menggunakan apa jua mekanisme bagi memastikan keselamatan dan kualiti darah yang diberikan oleh penderma.
Dalam satu kes yang dilaporkan, seorang pembantu rumah di Ipoh telah disahkan menghidap HIV positif selepas menjalani proses pemindahan darah. Datuk Seri Liow berkata: 'Pihak kementerian akan melakukan pemeriksaan teliti terhadap aktiviti dan prosedur perubatan yang dijalankan terhadap wanita tersebut bagi mengenal pasti bagaimana beliau dijangkiti virus berkenaan.' Encik Vun Ah Thai, 56 tahun, seorang pesakit buah pinggang disyaki menghidap penyakit HIV selepas menjalani pemindahan darah di sebuah hospital kerajaan. Bagaimanapun, kelapan-lapan penderma yang mendermakan darah kepadanya telah disahkan bebas daripada virus berbahaya tersebut. Encik Vun telah menerima 18 pain darah selepas menjalani beberapa proses pemindahan darah sejak Januari lalu bagaimanapun beliau disahkan menghidap penyakit HIV positif ketika hendak menjalani satu pembedahan kecil di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 15 Ogos lalu. Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan negeri dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.


No comments:

Post a Comment