Saturday, October 22, 2011

Budak yang dibiar selepas dilanggar meninggal


BEIJING: Budak perempuan berumur dua tahun di China yang dilanggar dua kenderaan dan tidak dihiraukan oleh 18 pengguna jalan raya, meninggal dunia semalam.
Kes budak yang dikenali sebagai Yue Yue itu sebelum ini telah menggemparkan China dan mencetuskan kemarahan kerana ia mendedahkan sikap kurang bermoral dalam masyarakat China. 'Yue Yue meninggal kerana organnya gagal berfungsi,' kata jurucakap hospital. Sebelum ini, doktor yang merawat budak yang koma sejak kemalangan 13 Oktober itu berkata peluangnya untuk hidup adalah tipis. Video daripada kamera litar tertutup dan disiarkan oleh stesen televisyen merakamkan budak itu dilanggar sebuah van dan kemudian ditinggalkan dalam keadaan berdarah di jalan raya di Foshan, wilayah Guandong. Media rasmi melaporkan 18 orang yang melalui jalan itu sama ada pejalan kaki atau menunggang basikal tidak mempedulikannya sehinggalah dia dilanggar kali kedua oleh sebuah lori. Seorang wanita kemudian menarik budak tersebut ke tepi jalan sebelum ibu budak itu, seorang pekerja asing di bandar itu, tiba di tempat kejadian. Agensi berita Xinhua melaporkan dua pemandu yang melanggar Yue Yue ditahan polis. Berita kematian kanak-kanak itu dengan cepat menjadi topik hangat di laman sosial, Weibo, yang menyerupai Twitter, semalam. 'Selamat tinggal Yue Yue. Tiada kereta di syurga,' kata seorang pengunjung. Seorang lagi menulis: 'Saya berharap anda akan disayangi di syurga. Dunia ini penuh dengan orang yang tidak peduli.' Lidah pengarang akhbar Global Times semalam berkata insiden itu mendedahkan keburukan masyarakat China tetapi menolak saranan mereka yang gagal membantu mangsa harus dihukum di bawah undang-undang. -- AFP, AP, Reuters.

cyBerita Spore

Banjir Hampiri Bangkok

Banjir mula mengalir ke pinggir Bangkok

Kawasan perniagaan utama belum terjejas


BANGKOK: Air mula memasuki daerah di pinggir Bangkok semalam, selang sehari kerajaan membuka pintu penghalang banjir.
Rumah di daerah utara Lak Si, yang terletak di sepanjang terusan utama Bangkok, Terusan Prapa, dilaporkan telah dinaiki air. Di beberapa kawasan, air telah mencecah paras lutut. Namun, kerosakan yang dilaporkan adalah kecil dan kawasan perniagaan utama Bangkok masih belum terjejas. Kelmarin, kerajaan Thailand memutuskan melencongkan limpahan air banjir dan mengalirkannya ke Teluk Siam menerusi bahagian timur Bangkok. Perdana Menteri, Cik Yingluck Shinawatra, berkata semua pengadang banjir akan melepaskan air banjir itu secara berperingkat bagi mengawal laluannya agar terus ke bahagian timur Bangkok. Menurut beliau, paras air yang mengalir melalui Terusan Prapa telah meningkat dengan banyak semalaman. 'Saya ingin meminta penduduk di semua daerah di Bangkok agar bersiap sedia memindahkan harta benda mereka ke tempat tinggi, sebagai langkah berjaga-jaga,' kata Cik Yingluck semalam.

Kulim juara Bolasepak 100Plus

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim menampilkan persembahan penuh berkualiti ketika muncul juara Piala Super 100Plus ketika menewaskan SMK Kampong Chengal, Kelantan 3-0 di Padang UiTM, Arau, kelmarin.
Penguasaan menyeluruh sepanjang perlawanan itu apabila jitu di bahagian pertahanan, mendominasi kawasan tengah serta asakan bertubi-tubi ke arah kubu lawan menyaksikan pasukan dari Pantai Timur itu nyata bukan tandingan mereka.

Gol pertama SMK Kulim dijaringkan Muhammad Shahmin Izwan Abdullah yang turut dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan sebelum penyerang, Muhammad Solihin dan ketua pasukan, Abdul Halim Shaari menjaringkan baki dua gol. Dua pemain pertahanan tengah mereka, Nabil Fikri Zulkifli dan Muhammad Safuan juga menyerlah dalam mengekang asakan SMK Kampong Chengal.
myMetro 22 Okt 2011

Australia singkir Wales untuk gangsa

AUCKLAND: Australia menamatkan kempen pada kejohanan Ragbi Piala Dunia penuh bergaya apabila mengatasi Wales 21-18 pada perlawanan penentuan tempat ketiga di Eden Park, semalam.
Wallabies terus berjuang sekalipun kehilangan bintang back, Quade Cooper dan Kurtley Beale kerana kecederaan pada babak pertama untuk menewaskan Wales menerusi permainan bertahan menakjubkan selepas kedua-dua pasukan masing-masing menjaringkan dua try.

Ia adalah kemenangan pertama Australia di Eden Park sejak 1986, tetapi tidak menentang pencabar Piala Bledisloe, New Zealand, yang akan berdepan Perancis di gelanggang keramat mereka pada perlawanan akhir esok.
Kedua-dua pasukan mengalami kekalahan memilukan pada separuh akhir hujung minggu lalu, Wallabies tunduk 6-20 di tangan All Blacks manakala Wales kalah 8-9 kepada Perancis selepas bermain dengan 14 pemain bagi tempoh sejam terakhir.

Kemenangan itu bermakna juara dua kali Australia merangkul pingat gangsa pertama mereka pada Piala Dunia selepas tumpas 21-22 kepada Wales pada perlawanan penentuan tempat ketiga di kejohanan edisi sulung pada 1987 di New Zealand.

“Kami hadir ke kejohanan ini dengan matlamat untuk muncul juara tapi kami tidak cukup bagus ketika menentang New Zealand. Pemain-pemain masih berasa kecewa,” kata jurulatih Australia, Robbie Deans.

Pemain inside centre Australia, Berrick Barnes dan No 8, Ben McCalman kedua-duanya menjaringkan try manakala Barnes turut menambah drop goal lewat dan pemain sayap James O'Connor menyempurnakan satu conversion dan dua penalti.

Pemain sayap, Shane Williams dan fullback Leigh Halfpenny menjaringkan try buat Wales manakala flyhalf James Hook membuka jaringan pasukan itu dengan penalti babak pertama dan penggantinya, Stephen Jones melengkapkan penalti kedua dan conversion lewat permainan. - Agensi
myMetro 22 Okt 2011

United ‘takut’

MANCHESTER: Pemain pertahanan Manchester City, Micah Richards percaya Manchester United ‘takut’ untuk berdepan musuh setempat mereka ketika kedua-dua kelab itu membuat persiapan rapi menjelang pertembungan dinanti-nantikan pada Liga Perdana Inggeris, malam esok.
Richards percaya selepas sekian lama dibayangi kehebatan United, City yang kini mendahului liga berada di landasan tepat untuk menyekat keinginan pasukan jirannya itu daripada terus menguasai kancah bola sepak Inggeris.

“United sekarang tahu tapi tidak mahu menyatakannya bahawa kami adalah ancaman terbesar mereka,” kata pemain antarabangsa England berusia 23 tahun itu.
Richards juga gembira dengan kejayaan City menjulang Piala FA musim lalu yang memaksa penyokong United menanggalkan kain rentang di Old Trafford yang mengejek kegagalan mereka memenangi trofi selama 35 tahun.

Zamri pamer aksi mantap

PELUANG kedua yang diberikan kepada Mohd Zamri Baba untuk bersaing di Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia Shell Advance menerusi tiket wild card nyata tidak disia-siakan begitu saja apabila dia mencatatkan masa memberangsangkan pada sesi latihan bebas semalam.
Mohd Zamri yang bersaing dalam kategori Moto2, mencatatkan masa 2 minit 10.598 saat pada sesi latihan kedua untuk menduduki tempat ke-26 daripada 39 pelumba, 0.5s lebih pantas berbanding catatan masa sesi latihan kedua tahun lalu.

Pelumba berusia 28 tahun itu jelas dilihat amat selesa mengendalikan jentera Moriwaki yang baru apabila pada satu ketika berada dalam kelompok 20 pelumba terbaik.
“Hari ini (semalam) saya melakukan sesi latihan dengan menguji dua jenis tayar berbeza yang tidak pernah digunakan pada mana-mana saingan sebelum ini.

“Krew pasukan akan menganalisis tayar manakah yang paling sesuai untuk saya gunakan pada pusingan kelayakan esok. Yang pasti cengkaman kedua-dua tayar ini amat bagus.

“Dan secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi saya kerana dapat melakukan catatan masa lebih pantas berbanding tahun lalu,” katanya yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 pada musim lalu.

Sementara itu, rakan sepasukan Mohd Zamri yang juga beraksi menerusi tiket wild, Hafizh Syahrin Abdullah menduduki tempat ke-33 dengan catatan 2:11.321s yang dilakukan pada sesi latihan bebas kedua.

Mengulas prestasinya semalam, Hafizh mengakui dia agak tertekan dan gementar apabila turun beraksi pada sesi latihan bebas semalam.
MyMetro 22 Okt 2011

Zulfahmi ke-15

NASIB berbeza dialami dua pelumba negara bagi kategori 125cc iaitu Muhammad Zulfahmi Khairudddin serta Muhammad Farid Badrul Hisham pada sesi latihan bebas Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Ketika Zulfahmi dilihat mempamerkan tunggangan memberangsangkan apabila menduduki tempat ke-15 daripada 32 pelumba dengan catatan masa terpantas 2 minit 17.175 saat pada sesi latihan bebas kedua, Muhammad Farid yang bertanding menerusi tiket wild card terjatuh pada selekoh ketiga di sesi latihan kedua, sekali gus gagal mencatat masa terbaik.

Zulfahmi yang beraksi pada musim penuh kedua bersama pasukan AirAsia SIC Ajo Racing, berjaya memperbaiki catatan sepusingan lebih dua saat pantas pada sesi latihan kedua selepas hanya mencatat 2:19.062s pada sesi latihan pertama.
“Pada sesi latihan sebelah pagi saya agak bergelut dengan jentera apabila suspensi motosikal agak keras. Bagaimanapun pada sesi latihan bebas kedua, kami dapat mencari jalan penyelesaian dan akhirnya membolehkan saya memperbaiki catatan masa lebih pantas dua saat,” katanya.

Meskipun Zulfahmi mempamerkan rekod cemerlang ketika litar basah, pelumba berusia 20 tahun itu tetap mengharapkan cuaca lebih baik pada perlumbaan sebenar, Ahad ini. Farid pula sekadar menduduki tempat ke-31 dengan catatan masa 2:19.662s pada sesi latihan kedua selepas tidak mencatat sebarang masa pada sesi latihan pertama kerana masalah jentera.

“Segala-galanya tidak menjadi hari ini (semalam), selepas sesi latihan pertama jentera saya mengalami masalah manakala pada sesi kedua, saya terjatuh kerana mahu mengelak pelumba di hadapan,” katanya.
MyMetro 22 okt 2011

Baddrol benam cabaran Mynmar

PEMAIN gantian, Baddrol Bakhtiar pencetus kebangkitan skuad bawah 23 tahun negara ketika menewaskan Myanmar 2-1 pada perlawanan kedua kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di Stadium My Dinh, Hanoi semalam.
Malaysia yang ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan Kyaw Ko Ko bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol penyerang Syahrul Azwari Ibrahim dan Baddrol.

Kemenangan itu melegakan pengendali negara, Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya tumpas 1-3 kepada Uzbekistan dalam perlawanan pertama Rabu lalu.
“Saya tidak menurunkan enam pemain utama hari ini kerana mahu memberi peluang kepada yang lain untuk beraksi. Saya hanya menurunkan kesebelasan pilihan ketiga kita dan ternyata persembahan mereka tidak menghampakan, kecuali sedikit gugup di awal permainan sehingga membenarkan Myanmar menjaringkan gol.

Jang tak ambil mudah

SEKALIPUN sudah memiliki kelebihan dua gol, Negeri Sembilan tidak akan mengubah corak persembahan mereka seperti dipamerkan sebelum ini, sebaliknya akan terus melakukan serangan ke kubu lawan, sebaik turun membuat perhitungan terakhir dengan T-Team pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, berkata pihaknya yakin pendekatan itu antara strategi yang akan digunakan ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, bagi memastikan Negeri Sembilan dapat memperkukuhkan kedudukan dan mencapai kemenangan seterusnya melayakkan diri ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut.

“Kami tidak akan mengubah corak persembahan sebaliknya akan beraksi seperti biasa dan terus menyerang ke kubu pasukan lawan bagi mendapatkan gol kerana kelebihan dua gol yang kami miliki itu belum begitu terjamin untuk layak ke perlawanan akhir.

‘Perjuangan kami belum berakhir’ Yunus Alif

KETUA jurulatih T-Team, Yunus Alif, melahirkan keyakinan tinggi terhadap skuad bimbingannya itu untuk menyekat kemaraan Negeri Sembilan, apabila turun membuat perhitungan terakhir dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Sekalipun ketinggalan dua gol selepas tewas 2-4 pada perlawanan pertama Selasa lalu, pengendali berpengalaman itu menyifatkan peluang mereka untuk mencipta sejarah ke perlawanan akhir merebut piala berprestij itu, belum lagi tertutup.

“Masih ada 90 minit lagi yang akan menjadi penentu terhadap perjuangan kami musim ini, walaupun kami ketinggalan dari segi jaringan dengan Negeri Sembilan, itu tidak bermakna perjuangan kami sudah berakhir.
“Ini kerana dalam bola sepak, tiada yang mustahil dan apa yang pemain T-Team akan lakukan ialah turun dengan semangat juang tinggi serta beraksi habis-habisan untuk mencapai kemenangan sekali gus menafikan kelebihan yang dimiliki tuan rumah,” katanya ketika ditemui Arena Metro, di padang Majlis Perbandaran Seremban, petang semalam.

Trio berbisa nadi Penyu

BISA tiga peledak tersohor Terengganu yang diketuai penjaring terbanyak musim ini, Abdul Hadi Yahaya serta Mohd Ashari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat terus ditagih jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim untuk merobek gawang juara 32 kali Selangor pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Irfan Bakti, 60, turut mengharapkan benteng pertahanan dan jentera tengah mampu melaksanakan tugas dengan berkesan untuk menyekat Red Giants yang mahu mengatasi kelebihan dua gol tuan rumah yang menang 2-0 pada aksi pertama.

Menurutnya , kelicikan tiga serangkai itu yang sentiasa bertukar posisi dan hantaran ketika menyerang tidak perlu diragui kerana mereka sudah membuktikan kemampuan masing-masing.
Katanya, prestasi mereka amat menggembirakannya dan berharap terus berusaha gigih bagi merealisasikan hasrat Terengganu memburu juara piala berprestij itu.

Congakan Maniam

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
TETAP BERSEMANGAT...skuad Selangor  berlatih  di Kuala Terengganu, semalam.
TETAP BERSEMANGAT...skuad Selangor berlatih di Kuala Terengganu, semalam.
MISI 33 bakal berkubur sekiranya Selangor melepaskan sekurang-kurangnya gol awal kepada Terengganu dalam detik penentuan untuk ke final Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Ia sesuatu yang perlu dielakkan juara 32 kali Piala Malaysia itu selain mengharapkan pengendalinya, P Maniam mencatur strategi terbaik mendapatkan tiga gol dalam baki 90 minit di separuh akhir kedua di laman lawan yang pastinya diiringi sokongan puluhan ribu peminat fanatik juara Piala FA itu.

Namun bukan saja Misi 33 menjadi taruhan kali ini, malah kedudukan kebanyakan pemain dan Maniam sendiri sebagai ketua jurulatih Selangor untuk musim depan pastinya dinilai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas skuad itu gagal meraih sebarang piala musim ini.
Pengendali berusia 43 tahun itu bagaimanapun tetap berfikiran positif dalam misi sukar mencari sekurang-kurangnya tiga gol tanpa bolos malam ini dengan menganggap pelbagai perkara boleh berlaku dalam bola sepak.

“Malah pemain tetap bersemangat ketika menjalani latihan dan kelihatan tidak terjejas walaupun tewas 2-0 pada separuh akhir pertama di laman sendiri.

“Sebagai bekas pemain dan jurulatih saya yakin kami mampu melakukannya dengan barisan pemain yang ada,” katanya.

Ketika tahap kecergasan Mohd Amri Yahyah masih menjadi persoalan, Maniam perlu menyediakan kombinasi penggempur yang ampuh di barisan depan bagi menggegar gawang lawan sekiranya kapten Merah Kuning itu tidak dapat diturunkan.

“Saya mungkin menggunakan gandingan Rudie Ramli dan Mohd Fadzli Saari yang diharapkan dapat mencari gol awal walaupun ia bukanlah tugas yang mudah,” katanya.
Maniam sebelum ini dilantik menggantikan K Devan bagi mengendalikan dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan berjaya membimbing Merah Kuning melepasi suku akhir.

Tak mengaku seludup rokok RM224,600

JASIN: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan menyeludup 14,500 karton rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM224,600, pertengahan bulan ini.
Tan Suan Kuang, 39, dari Kuantan, Pahang, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusoff.

Mengikut kertas tuduhan, Tan didakwa mengangkut barang larangan import iaitu rokok pelbagai jenama bernilai RM224,600 menggunakan sebuah lori di Kilometer 203, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala ke Utara di Ayer Keroh, kira-kira jam 7.05 pagi, 14 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM4,492,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dari Unit Pendakwaan, Zalliza Arip menawarkan tertuduh jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan dengan alasan masih menyara seorang anak.

Siti Suriatey kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dan menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

Pengawal keselamatan raba punggung wanita dipenjara 12 bulan

GEORGETOWN: Akibat meraba punggung seorang wanita ketika berada di depan lif sebuah flat di Gat Lebuh Macallum Isnin lalu, seorang pengawal keselamatan terpaksa merengkuk dalam penjara selama 12 bulan selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Tertuduh, Mohd Raffi Saiyed Ibrahim, 33, dari Jelutong, mengaku bersalah terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita dan dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Majistret Noor Aini Yusof dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan berdasarkan prinsip kepentingan orang awam dan jenayah dilakukannya adalah serius serta memalukan mangsa.
Katanya, mahkamah juga membuat keputusan itu selepas mengambil kira dua kesalahan berkaitan jenayah dadah yang dilakukannya pada 2002 dan 2005.

“Mahkamah juga mengambil kira pengakuan tertuduh yang mengakui kesalahannya yang menjimatkan kos serta masa mahkamah,” katanya.

Mengikut fakta kes, Mohd Raffi didakwa melakukan kesalahan itu di depan sebuah lif di tingkat sembilan Flat Sri Saujana, Gat Lebuh Macallus, Isnin lalu, jam 9.40 malam.

Mangsa yang berusia 25 tahun ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah apabila Mohd Raffi yang berada di lif terbabit menarik pakaiannya dan terus meraba punggungnya.

Mangsa melarikan diri dan memberitahu adik lelakinya mengenai kejadian itu sebelum membuat laporan polis di Jalan Patani.
Mohd Raffi ditahan pengawal keselamatan flat berkenaan kira-kira jam 10.05 malam pada hari sama dan diserahkan kepada polis di Pondok Polis Macallum.

Terdahulu, Mohd Khairulhazman Ghazali dari Pusat Bantuan Undang-Undang Majlis Peguam Pulau Pinang yang mewakili Mohd Raffi meminta mahkamah mempertimbangkan latar belakang tertuduh serta sejarah hidupnya sebelum menjatuhkan hukuman.

Beliau memberitahu mahkamah, Mohd Raffi ialah anak kedua daripada empat beradik yang menyara ibu bapanya dengan gaji RM800 sebulan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengawalkeselamatanrabapunggungwanitadipenjara12bulan/Article/index_html

Bekas akauntan didakwa tiru tandatangan pengarah E-mel Artikel

SHAH ALAM: Seorang bekas akauntan syarikat lampu hiasan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menipu dengan cara meniru tandatangan pengarah syarikatnya bagi menunaikan 15 cek bernilai RM101,000, 10 tahun lalu.
Tertuduh, Tee Tuck Liang, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin. Mengikut pertuduhan, Tee didakwa melakukan perbuatan itu dengan meniru tandatangan Lim Yek Ping, 53, dan memperdayakan cawangan sebuah bank di Pekan Batu 11, Cheras untuk menunaikan cek berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di syarikatnya bertugas di Cimatron (M) Sdn Bhd, Lot 17.16, Bersatu Industries Park, Jalan Satu, Cheras Jaya, Hulu Langat, dekat sini. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin menawarkan jaminan RM40,000. Bagaimanapun, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan ia terlampau tinggi.
Menjawab isu itu, Faten Hadni berkata, dakwaan terhadap tertuduh membabitkan nilai kira-kira RM100,000.

Pada masa sama, katanya, kes itu sudah terlalu lama apabila didakwa berlaku pada 2001 dan mahkamah juga pernah mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh.

Aslam kemudian membenarkan Tee dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada Sabtu pertama setiap bulan.

Mahkamah juga memerintahkan kes itu disebut semula pada 25 November ini.

‘Singgah masjid sujud syukur’

SHAH ALAM: “Selepas ini saya nak balik rumah, tetapi sebelum itu saya mahu singgah di masjid untuk sujud syukur.
“Saya bersyukur kerana keluarga saya tak pernah putus asa,” kata pengendali kren, Jumru Andi Cama, 29, selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, daripada tuduhan terbabit dalam perhimpunan haram dan menyebabkan kematian pemandu teksi di Klang, dekat sini, tiga tahun lalu.

Selesai prosiding keputusan kes itu, lelaki berasal dari Sabah itu dilihat memeluk dan mencium pipi isterinya, Rahma Wati, 30, yang berada di galeri awam mahkamah.
Terdahulu, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Siti Mariah dalam penghakimannya di akhir kes pendakwaan berkata, ada percanggahan material dalam keterangan saksi utama berhubung peranan tertuduh dalam kejadian itu.

Pujuk gay Melayu

IPOH: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertindak agresif membendung gejala homoseksual atau gay di kalangan lelaki Melayu termasuk golongan eksekutif diyakini berjumlah puluhan ribu orang.
Malah, pegawai Jakim turun padang mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa persatuan gay baru-baru ini selain melakukan tugas dakwah di pusat hiburan yang menjadi sarang kumpulan seks songsang ini.

Sumber berkata, melalui perbincangan khas itu, Jakim mendekati golongan gay dan berusaha memujuk mereka menyertai program mukhayyah yang diyakini mampu membawa golongan ini ke arah keinsafan.
“Pada pertemuan membabitkan lebih 20 ketua kumpulan gay Melayu, Jakim memujuk mereka menyertai program khas diatur. Walaupun majoriti tidak bersetuju, namun masih ada segelintir berminat menyertai program.

‘Orang Besar’ Afrika paling lama tumbang

BEKAS pemimpin Libya, Muammar Gaddafi orang terbaru yang tersingkir daripada senarai apa yang digelar ‘Orang Besar’ di Afrika, kumpulan pemerintah kuku besi yang semakin sedikit bilangannya dan mendapati semakin sukar untuk terus berkuasa.
Meskipun kematian Gaddafi, sebahagiannya akibat campur tangan luar, tekanan dalaman daripada penghuni bandar yang meningkatkan tuntutan sehingga memaksa perubahan politik lebih luas di benua itu.

Pilihan raya di beberapa negara Afrika baru-baru ini menunjukkan mereka boleh menggantikan rampasan kuasa sebagai jalan untuk menggulingkan pemimpin yang sudah tidak dialu-alukan lagi.
“Ia adalah kotak undi, bukan peluru yang memberi kesan kepada perubahan politik di Afrika. “Apa yang berlaku ialah berterusan tekanan dari dalam,” kata Tara O’Connor dari Konsultan Risiko Afrika yang berpusat di London. Mati dibunuh pemberontak yang disokong negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang menawan Sirte, bandar kelahirannya Khamis lalu, Gaddafi berada di tempat teratas senarai pemimpin Afrika paling lama memerintah, 42 tahun.

‘Hantu laut’ gugat operasi

PUTRAJAYA: Kehadiran ‘hantu laut’ yang bersekongkol menolong sindiket lanun melakukan rompakan dan peras ugut di perairan negara menyebabkan operasi dan rondaan pasukan penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sering terganggu, malah mengakibatkan suspek yang dikehendaki bolos.
Ini kerana mereka yang berlagak seperti nelayan atau kaki pancing, membocorkan maklumat kepada sindiket terbabit sebaik melihat pasukan penguat kuasa turun melakukan rondaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, beliau percaya ‘hantu laut’ terbabit bukanlah dari kalangan orang luar, sebaliknya penduduk tempatan yang tinggal di kawasan perairan berdekatan.
Cuma katanya, untuk menangkap mereka yang menjadi pembocor maklumat itu, sekali gus mengemukakan pertuduhan dan membuktikan kesalahan mereka di mahkamah memang sukar.

Beku pengambilan pelajar Afrika

KUALA LUMPUR: “Kalau perlu bekukan pengambilan pelajar Afrika ini, mengapa tidak? Kita perlu letakkan kepentingan negara sebagai keutamaan. Ketika ini, isu kebanjiran pelajar asing khususnya warga Afrika menjadi ancaman kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di dalam negara,” kata bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.
Menurutnya, isu berkenaan boleh menjejaskan imej Malaysia ketika negara berusaha untuk menjadi hab pendidikan di rantau ini dengan membuka peluang kepada pelajar asing untuk menimba ilmu di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara. Katanya, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan pelajar asing ke negara ini tidak menimbulkan masalah dan ancaman keselamatan kepada masyarakat supaya suasana pembelajaran berlangsung secara harmoni.

“Sebahagian IPTS hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kesannya kepada negara. Ada pelajar yang masuk tanpa mengambil kira kelayakan minimum dan ia mendorong kepada pelakuan jenayah membabitkan mereka yang semakin menular sekarang ini.
“Kita akui, ada tindakan dan peraturan tegas, tapi jika belum mencukupi, sesuatu perlu difikirkan agar tidak semakin meruncing,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Meraung kena asid

KUCHING: Seorang wanita meraung kesakitan apabila kekasihnya melempar sebotol cecair dipercayai asid tepat ke mukanya hanya kerana dia enggan berjumpa dengan lelaki itu.
Kejadian berlaku di rumah mangsa, ibu tunggal berusia 48 tahun, di Jalan Batu 13, Jalan Kuching-Serian di sini kira-kira jam 10 malam, kelmarin. Menurut sumber, teman lelaki mangsa, juga berusia 48 tahun, pergi ke rumah wanita itu dengan harapan untuk bertemu dengannya, namun permintaannya tidak dilayan. “Berang dengan tindakan mangsa, suspek dikatakan tidak terus pulang, tetapi menghendap mangsa untuk memastikan kedudukannya di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, selepas pasti mangsa berada di dalam biliknya, suspek mengambil cecair yang dipercayai asid dari dalam kenderaannya lalu melontarnya ke arah mangsa melalui tingkap bilik.
“Botol mengandungi cecair dipercayai asid yang dibaling itu tepat mengenai muka mangsa, menyebabkan mangsa menjerit kesakitan dan meminta tolong.

“Anggota keluarga yang mendengar jeritan mangsa kemudian bergegas menghantarnya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Fauzi Bujang ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.http://www.hmetro.com.my/articles/Meraungkenaasid/Article

2 penjenayah acu pistol kebas 3 dulang emas

KUALA LUMPUR: Seperti aksi filem Hollywood apabila tiga penyamun bersenjatakan dua pucuk pistol mengacukan ke muka pekerja sebelum melarikan tiga dulang barang kemas di sebuah kedai emas di Jalan Chow Kit, di sini, dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kumpulan terbabit hanya mengambil masa kurang daripada empat minit untuk melakukan rompakan itu. Difahamkan kedai berkenaan tidak menggaji pengawal keselamatan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, tiga lelaki menunggang dua motosikal dilaporkan berhenti di hadapan premis berkenaan.
“Dua daripada mereka yang memakai topi keledar kemudian bergegas masuk ke dalam premis berkenaan, manakala seorang lagi rakannya menunggu di luar premis dipercayai untuk memantau keadaan sekitar.

“Sebaik masuk, mereka yang bersenjatakan pistol terus mengacukan pistol ke arah seorang pekerja kedai berkenaan bagi menakutkan mereka,” katanya.

Lelaki kematian isteri perkosa anak sendiri

JERANTUT: Seorang lelaki yang sudah kematian isteri, bukan saja tergamak merogol anak tunggalnya berusia lapan tahun malah lelaki durjana itu juga sanggup bergaduh besar dengan ibu dan adik perempuannya selepas keluarganya tampil membuat laporan polis berhubung tindakan kejamnya itu.
Mangsa, seorang murid tahun dua sebuah sekolah rendah di bandar ini dikatakan dirogol bapanya sendiri yang berusia 32 tahun ketika sedang mandi di bilik air rumah mereka di Kampung Jalan Batu Satu, dekat sini, kira-kira jam 2 petang, 14 Oktober lalu.

Sebelum kejadian, kanak-kanak malang itu baru pulang dari sekolah, masuk ke bilik air untuk mandi tanpa mengetahui gerak-gerinya diperhatikan oleh bapanya dan mangsa yang murung menceritakan perbuatan jijik itu kepada ibu saudaranya selepas didesak berbuat demikian.
Ibu saudara mangsa yang terkejut mendengar pengakuan mangsa kemudian menceritakan insiden itu kepada ibunya dan kedua-dua mereka memanggil suspek untuk mendapatkan cerita sebenar daripadanya.

Ketika ditanya, suspek mula berang dan bergaduh besar dengan ibu serta adik perempuannya itu dan dia turut dikatakan cuba bertindak agresif terhadap mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata nenek serta ibu saudara mangsa membawa kanak-kanak malang itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut kira-kira jam 2 petang, sehari selepas kejadian.

“Lelaki itu turut membuat laporan polis, dua jam selepas itu dengan tujuan mahu mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan selain mengadu dirinya dikasari oleh adik perempuannya. Dia ditahan sejurus selepas membuat laporan berkenaan,” kata Zakaria.

Maut terhidu asap

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

USUNG...anggota bomba membawa turun mayat mangsa.
USUNG...anggota bomba membawa turun mayat mangsa.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai mengalami tekanan perasaan ditemui mati dalam kebakaran unit rumahnya di tingkat satu pangsapuri Rampai Court, di sini petang semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, Ser Thien Fan, 43, ditemui tidak sedarkan diri akibat terhidu banyak asap selain mengalami kesan terbakar di tangan kiri.

Menurut sumber, sebelum kebakaran, mangsa datang ke rumah jirannya dan cuba memotong jeriji rumah dengan pisau pemotong dan penukul besi.
Katanya, jiran lain yang kebetulan berada di tempat kejadian keluar untuk menenangkan mangsa.

“Mangsa mendakwa adiknya berada dalam rumah jirannya itu, tetapi sebenarnya tidak,” katanya.

Rektor: Aziz Bari digantung tugas untuk cepatkan siasatan

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan tindakan menggantung tugas pensyarah undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mempertikai titah Sultan Selangor.
  
Rektor UIAM Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin turut menafikan laporan media dan portal berita bahawa Abdul Aziz tidak dibenarkan masuk serta berurusan dengan pihak universiti, dan gaji turut ditahan.
  
Beliau berkata UIAM tetap membayar gaji Abdul Aziz seperti biasa dan pensyarah itu dibenarkan memasuki kawasan universiti untuk berurusan dengan fakulti.
  
"Saya tahu ada beberapa pihak yang melaporkan di dalam akhbar dan laman web bahawa beliau digantung dan tidak menerima gaji, serta dihalang dari memasuki UIAM. Itu semua tidak benar," katanya dalam sidang akhbar hari ini.