Saturday, October 22, 2011

‘Singgah masjid sujud syukur’

SHAH ALAM: “Selepas ini saya nak balik rumah, tetapi sebelum itu saya mahu singgah di masjid untuk sujud syukur.
“Saya bersyukur kerana keluarga saya tak pernah putus asa,” kata pengendali kren, Jumru Andi Cama, 29, selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, daripada tuduhan terbabit dalam perhimpunan haram dan menyebabkan kematian pemandu teksi di Klang, dekat sini, tiga tahun lalu.

Selesai prosiding keputusan kes itu, lelaki berasal dari Sabah itu dilihat memeluk dan mencium pipi isterinya, Rahma Wati, 30, yang berada di galeri awam mahkamah.
Terdahulu, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Siti Mariah dalam penghakimannya di akhir kes pendakwaan berkata, ada percanggahan material dalam keterangan saksi utama berhubung peranan tertuduh dalam kejadian itu.


Beliau berkata, ini termasuk keterangan berhubung senjata didakwa digunakan dalam pergaduhan itu dan pada masa sama ia tidak dikemukakan di mahkamah.

Selain itu, katanya, pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting lain termasuk doktor dari Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang yang paling awal merawat mangsa dan tiga individu lain yang menyaksikan kejadian itu.

Menurutnya, tanpa keterangan doktor dan laporan perubatan, timbul keraguan berhubung punca kematian mangsa sama ada disebabkan kegagalan mendapat rawatan awal atau akibat perbuatan tertuduh.
“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Jumru Andi bersama-sama lima lagi yang masih bebas didakwa terbabit dalam perhimpunan menyalahi undang-undang di mana seorang atau dua orang daripada mereka menyebabkan kematian Roslan Abdul Han, 30.

Bapa dua anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di kaki lima Restoran Yong Chun, Jalan Batu Nilam 1, Bandar Bukit Tinggi, Klang, antara jam 8.30 dan 9 malam pada 2 November 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan peringkat kes pendakwaan, seramai 12 saksi tampil memberi keterangan.

Pada prosiding semalam, Jumru Andi diwakili peguam, A Komathi.

No comments:

Post a Comment