Saturday, October 22, 2011

Meraung kena asid

KUCHING: Seorang wanita meraung kesakitan apabila kekasihnya melempar sebotol cecair dipercayai asid tepat ke mukanya hanya kerana dia enggan berjumpa dengan lelaki itu.
Kejadian berlaku di rumah mangsa, ibu tunggal berusia 48 tahun, di Jalan Batu 13, Jalan Kuching-Serian di sini kira-kira jam 10 malam, kelmarin. Menurut sumber, teman lelaki mangsa, juga berusia 48 tahun, pergi ke rumah wanita itu dengan harapan untuk bertemu dengannya, namun permintaannya tidak dilayan. “Berang dengan tindakan mangsa, suspek dikatakan tidak terus pulang, tetapi menghendap mangsa untuk memastikan kedudukannya di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, selepas pasti mangsa berada di dalam biliknya, suspek mengambil cecair yang dipercayai asid dari dalam kenderaannya lalu melontarnya ke arah mangsa melalui tingkap bilik.
“Botol mengandungi cecair dipercayai asid yang dibaling itu tepat mengenai muka mangsa, menyebabkan mangsa menjerit kesakitan dan meminta tolong.

“Anggota keluarga yang mendengar jeritan mangsa kemudian bergegas menghantarnya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Fauzi Bujang ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.http://www.hmetro.com.my/articles/Meraungkenaasid/Article

No comments:

Post a Comment