Saturday, October 22, 2011

‘Hantu laut’ gugat operasi

PUTRAJAYA: Kehadiran ‘hantu laut’ yang bersekongkol menolong sindiket lanun melakukan rompakan dan peras ugut di perairan negara menyebabkan operasi dan rondaan pasukan penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sering terganggu, malah mengakibatkan suspek yang dikehendaki bolos.
Ini kerana mereka yang berlagak seperti nelayan atau kaki pancing, membocorkan maklumat kepada sindiket terbabit sebaik melihat pasukan penguat kuasa turun melakukan rondaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, beliau percaya ‘hantu laut’ terbabit bukanlah dari kalangan orang luar, sebaliknya penduduk tempatan yang tinggal di kawasan perairan berdekatan.
Cuma katanya, untuk menangkap mereka yang menjadi pembocor maklumat itu, sekali gus mengemukakan pertuduhan dan membuktikan kesalahan mereka di mahkamah memang sukar.


“Mereka yang membocorkan maklumat kepada lanun ini boleh jadi kaki pancing di kawasan itu atau nelayan tempatan. “Apabila kita berada pada jarak 20 batu daripada satu-satu kawasan, sudah tentu dengan maklumat dibocorkan kepada lanun mengganggu operasi kita, lebih-lebih lagi keadaan cuaca berangin yang melambatkan pergerakan pihak berkuasa,” katanya, baru-baru ini.

Beliau berkata, sindiket lanun sering bergantung kepada mereka yang membocorkan maklumat untuk mengetahui lokasi penguat kuasa APMM sebelum melakukan rompakan dan memeras ugut nelayan di laut.

“Apabila lanun ini mahu melakukan jenayah, mereka akan mendapatkan maklumat terlebih dulu, sama ada pihak berkuasa ada atau tidak di lokasi berkenaan,” katanya, sambil menegaskan, pihaknya turut memandang serius kewujudan ‘hantu’ terbabit dan sedang menjejaki mereka. Mengulas lanjut mengenai kegiatan lanun di perairan negara, Ahmad Puzi berkata, antara kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti perompak laut itu adalah sekitar Selat Melaka, Selat Singapura, Laut China Selatan dan Pantai Timur Wilayah Sabah.

Katanya, hasil tangkapan dibuat sebelum ini mendapati mereka berusia antara 20-an hingga 40-an, kebanyakannya terdiri daripada golongan susah dan memilih menjadi lanun untuk menyara keluarga cara mudah.

No comments:

Post a Comment