Saturday, October 22, 2011

Maut terhidu asap

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

USUNG...anggota bomba membawa turun mayat mangsa.
USUNG...anggota bomba membawa turun mayat mangsa.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai mengalami tekanan perasaan ditemui mati dalam kebakaran unit rumahnya di tingkat satu pangsapuri Rampai Court, di sini petang semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, Ser Thien Fan, 43, ditemui tidak sedarkan diri akibat terhidu banyak asap selain mengalami kesan terbakar di tangan kiri.

Menurut sumber, sebelum kebakaran, mangsa datang ke rumah jirannya dan cuba memotong jeriji rumah dengan pisau pemotong dan penukul besi.
Katanya, jiran lain yang kebetulan berada di tempat kejadian keluar untuk menenangkan mangsa.

“Mangsa mendakwa adiknya berada dalam rumah jirannya itu, tetapi sebenarnya tidak,” katanya.


Beliau berkata, sebaik ditenangkan, mangsa pulang semula ke rumahnya manakala jiran berkenaan memaklumkan kepada pengawal keselamatan di pangsapuri itu agar menghubungi polis.

“Beberapa minit kemudian polis tiba dan datang ke rumah mangsa, tetapi dia enggan membuka pintu. Anggota terbabit kemudian pulang semula ke balai.

“Dalam kejadian jam jam 6 petang, ada jiran ternampak api dalam bilik rumah mangsa sebelum menghubungi bomba. Ketika kejadian mangsa hanya berseorangan manakala suaminya keluar bekerja,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.09 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan tiga jentera dan 30 anggota.

Katanya, sebaik tiba, pintu rumah mangsa terkunci dan anggotanya terpaksa memecahkannya untuk masuk menyelamatkan mangsa.

“Kami mendapati mangsa terbaring dalam bilik dengan keadaan tidak sedarkan diri. Terdapat kesan melecur pada tangan kiri mangsa,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap.

“Siasatan kami mendapati kebakaran bermula dari dalam bilik mangsa. Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment