Saturday, October 22, 2011

Bekas akauntan didakwa tiru tandatangan pengarah E-mel Artikel

SHAH ALAM: Seorang bekas akauntan syarikat lampu hiasan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menipu dengan cara meniru tandatangan pengarah syarikatnya bagi menunaikan 15 cek bernilai RM101,000, 10 tahun lalu.
Tertuduh, Tee Tuck Liang, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin. Mengikut pertuduhan, Tee didakwa melakukan perbuatan itu dengan meniru tandatangan Lim Yek Ping, 53, dan memperdayakan cawangan sebuah bank di Pekan Batu 11, Cheras untuk menunaikan cek berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di syarikatnya bertugas di Cimatron (M) Sdn Bhd, Lot 17.16, Bersatu Industries Park, Jalan Satu, Cheras Jaya, Hulu Langat, dekat sini. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin menawarkan jaminan RM40,000. Bagaimanapun, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan ia terlampau tinggi.
Menjawab isu itu, Faten Hadni berkata, dakwaan terhadap tertuduh membabitkan nilai kira-kira RM100,000.

Pada masa sama, katanya, kes itu sudah terlalu lama apabila didakwa berlaku pada 2001 dan mahkamah juga pernah mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh.

Aslam kemudian membenarkan Tee dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada Sabtu pertama setiap bulan.

Mahkamah juga memerintahkan kes itu disebut semula pada 25 November ini.

No comments:

Post a Comment