PETALING JAYA: Seorang wanita terpaksa berpisah dengan dua anaknya
selepas melarikan diri akibat tidak tahan dibelasah suami di kediaman
rakannya di Damansara Damai, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, mangsa berusia 32 tahun menumpang di rumah rakannya itu
selama lebih dua minggu selepas melarikan diri bersama dua anaknya
akibat tidak tahan dipukul suaminya.
Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, kejadian berlaku jam 2
pagi selepas mangsa mendapat panggilan telefon daripada suaminya
menyuruh dia turun berjumpa dengannya.
Mangsa akur dan turun bertemu suaminya dengan membawa bersama dua anak
mereka sebelum berlaku pertengkaran kecil. Ketika itu, suami mangsa yang
naik marah menumbuk perut dan menampar mukanya.
“Suaminya turut mencekik mangsa sebelum wanita itu menolaknya dan
melarikan diri meninggalkan kedua-dua anaknya bersama lelaki itu,”
katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian, keluarga suami mangsa pernah datang ke
rumah berkenaan dua minggu lalu dan mengugut akan ‘menyemadikan’ mangsa
sambil melontarkan kata-kata kesat kepadanya.
“Bapa mentua mangsa turut memberi amaran supaya tidak mendekati suaminya
lagi berikutan lelaki itu sudah beristeri baru dan hidup bahagia,”
katanya.
Sehubungan itu, mangsa yang melarikan diri ke rumah seorang lagi
rakannya di Jinjang, dekat sini, membuat laporan di Balai Polis Jinjang
sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan
Meor Hamdan Meor Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan
itu.
myMetro
18 Okt 2011
No comments:
Post a Comment