Saturday, October 22, 2011

‘Perjuangan kami belum berakhir’ Yunus Alif

KETUA jurulatih T-Team, Yunus Alif, melahirkan keyakinan tinggi terhadap skuad bimbingannya itu untuk menyekat kemaraan Negeri Sembilan, apabila turun membuat perhitungan terakhir dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Sekalipun ketinggalan dua gol selepas tewas 2-4 pada perlawanan pertama Selasa lalu, pengendali berpengalaman itu menyifatkan peluang mereka untuk mencipta sejarah ke perlawanan akhir merebut piala berprestij itu, belum lagi tertutup.

“Masih ada 90 minit lagi yang akan menjadi penentu terhadap perjuangan kami musim ini, walaupun kami ketinggalan dari segi jaringan dengan Negeri Sembilan, itu tidak bermakna perjuangan kami sudah berakhir.
“Ini kerana dalam bola sepak, tiada yang mustahil dan apa yang pemain T-Team akan lakukan ialah turun dengan semangat juang tinggi serta beraksi habis-habisan untuk mencapai kemenangan sekali gus menafikan kelebihan yang dimiliki tuan rumah,” katanya ketika ditemui Arena Metro, di padang Majlis Perbandaran Seremban, petang semalam.


Hujan renyai menyebabkan Yunus terpaksa mengendalikan latihan ringan terhadap skuad bimbingannya itu. Menurut Yunus, anak buahnya tidak berdepan tekanan untuk melaksanakan tugas itu sekali pun beliau mengakui tanggungjawab yang bakal digalas mereka malam nanti adalah berat tetapi tetap yakin peluang masih ada untuk mencapai kemenangan.

Malah katanya, semangat dan keyakinan di kalangan anak buahnya jelas terpancar di wajah mereka sekali gus membuktikan mereka langsung tidak berasa tertekan dengan tugas yang bakal dilaksanakan nanti.

“Perancangan kita adalah untuk mendapatkan gol awal kerana persembahan pada separuh masa pertama bakal menjadi penentu kepada kejayaan pasukan dan jika ia gagal memungkinkan pemain berada dalam tekanan, namun saya amat berharap segala perancangan yang dibuat akan membuahkan hasil memuaskan malam esok (ini),” katanya.

Pengendali itu juga mengakui ketiadaan ayam tambatan pasukan Indra Putra Mahyuddin yang tidak dapat beraksi kerana menerima dua kad kuning, memberi sedikit kesan di barisan depan, tetapi yakin penggantinya, Mohd Haris Safwan Kamal, mampu menggalas tugas itu dengan baik.
“Haris juga seorang pemain berpengalaman dan mempunyai keupayaan menjaringkan gol. Saya yakin dengan kemampuannya untuk melakukan tugas itu nanti dengan cemerlang,” katanya.

No comments:

Post a Comment