Saturday, October 22, 2011

2 penjenayah acu pistol kebas 3 dulang emas

KUALA LUMPUR: Seperti aksi filem Hollywood apabila tiga penyamun bersenjatakan dua pucuk pistol mengacukan ke muka pekerja sebelum melarikan tiga dulang barang kemas di sebuah kedai emas di Jalan Chow Kit, di sini, dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kumpulan terbabit hanya mengambil masa kurang daripada empat minit untuk melakukan rompakan itu. Difahamkan kedai berkenaan tidak menggaji pengawal keselamatan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, tiga lelaki menunggang dua motosikal dilaporkan berhenti di hadapan premis berkenaan.
“Dua daripada mereka yang memakai topi keledar kemudian bergegas masuk ke dalam premis berkenaan, manakala seorang lagi rakannya menunggu di luar premis dipercayai untuk memantau keadaan sekitar.

“Sebaik masuk, mereka yang bersenjatakan pistol terus mengacukan pistol ke arah seorang pekerja kedai berkenaan bagi menakutkan mereka,” katanya.


Difahamkan, ketika itu, dua pekerja berusia lingkungan 20-an sedang melayan dua pelanggan yang mahu membeli barang kemas.

Sumber berkata, tersentak dengan kejadian itu, semua mangsa hanya mendiamkan diri sebelum lelaki itu merampas tiga dulang barang kemas dan memasukkan barang berkenaan ke dalam beg sebelum melarikan diri ke arah ibu kota.

“Selepas itu, pekerja kedai emas itu bertindak memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi, mengesahkan ketika kejadian terdapat empat individu dalam premis itu iaitu dua pekerja dan dua pelanggan.

“Kumpulan terbabit hanya mengambil masa kurang daripada empat minit untuk membawa lari barang kemas berkenaan sebelum melarikan diri dengan menaiki dua motosikal,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 359/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

No comments:

Post a Comment