Saturday, October 22, 2011

Budak yang dibiar selepas dilanggar meninggal


BEIJING: Budak perempuan berumur dua tahun di China yang dilanggar dua kenderaan dan tidak dihiraukan oleh 18 pengguna jalan raya, meninggal dunia semalam.
Kes budak yang dikenali sebagai Yue Yue itu sebelum ini telah menggemparkan China dan mencetuskan kemarahan kerana ia mendedahkan sikap kurang bermoral dalam masyarakat China. 'Yue Yue meninggal kerana organnya gagal berfungsi,' kata jurucakap hospital. Sebelum ini, doktor yang merawat budak yang koma sejak kemalangan 13 Oktober itu berkata peluangnya untuk hidup adalah tipis. Video daripada kamera litar tertutup dan disiarkan oleh stesen televisyen merakamkan budak itu dilanggar sebuah van dan kemudian ditinggalkan dalam keadaan berdarah di jalan raya di Foshan, wilayah Guandong. Media rasmi melaporkan 18 orang yang melalui jalan itu sama ada pejalan kaki atau menunggang basikal tidak mempedulikannya sehinggalah dia dilanggar kali kedua oleh sebuah lori. Seorang wanita kemudian menarik budak tersebut ke tepi jalan sebelum ibu budak itu, seorang pekerja asing di bandar itu, tiba di tempat kejadian. Agensi berita Xinhua melaporkan dua pemandu yang melanggar Yue Yue ditahan polis. Berita kematian kanak-kanak itu dengan cepat menjadi topik hangat di laman sosial, Weibo, yang menyerupai Twitter, semalam. 'Selamat tinggal Yue Yue. Tiada kereta di syurga,' kata seorang pengunjung. Seorang lagi menulis: 'Saya berharap anda akan disayangi di syurga. Dunia ini penuh dengan orang yang tidak peduli.' Lidah pengarang akhbar Global Times semalam berkata insiden itu mendedahkan keburukan masyarakat China tetapi menolak saranan mereka yang gagal membantu mangsa harus dihukum di bawah undang-undang. -- AFP, AP, Reuters.

cyBerita Spore

Banjir Hampiri Bangkok

Banjir mula mengalir ke pinggir Bangkok

Kawasan perniagaan utama belum terjejas


BANGKOK: Air mula memasuki daerah di pinggir Bangkok semalam, selang sehari kerajaan membuka pintu penghalang banjir.
Rumah di daerah utara Lak Si, yang terletak di sepanjang terusan utama Bangkok, Terusan Prapa, dilaporkan telah dinaiki air. Di beberapa kawasan, air telah mencecah paras lutut. Namun, kerosakan yang dilaporkan adalah kecil dan kawasan perniagaan utama Bangkok masih belum terjejas. Kelmarin, kerajaan Thailand memutuskan melencongkan limpahan air banjir dan mengalirkannya ke Teluk Siam menerusi bahagian timur Bangkok. Perdana Menteri, Cik Yingluck Shinawatra, berkata semua pengadang banjir akan melepaskan air banjir itu secara berperingkat bagi mengawal laluannya agar terus ke bahagian timur Bangkok. Menurut beliau, paras air yang mengalir melalui Terusan Prapa telah meningkat dengan banyak semalaman. 'Saya ingin meminta penduduk di semua daerah di Bangkok agar bersiap sedia memindahkan harta benda mereka ke tempat tinggi, sebagai langkah berjaga-jaga,' kata Cik Yingluck semalam.

Kulim juara Bolasepak 100Plus

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim menampilkan persembahan penuh berkualiti ketika muncul juara Piala Super 100Plus ketika menewaskan SMK Kampong Chengal, Kelantan 3-0 di Padang UiTM, Arau, kelmarin.
Penguasaan menyeluruh sepanjang perlawanan itu apabila jitu di bahagian pertahanan, mendominasi kawasan tengah serta asakan bertubi-tubi ke arah kubu lawan menyaksikan pasukan dari Pantai Timur itu nyata bukan tandingan mereka.

Gol pertama SMK Kulim dijaringkan Muhammad Shahmin Izwan Abdullah yang turut dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan sebelum penyerang, Muhammad Solihin dan ketua pasukan, Abdul Halim Shaari menjaringkan baki dua gol. Dua pemain pertahanan tengah mereka, Nabil Fikri Zulkifli dan Muhammad Safuan juga menyerlah dalam mengekang asakan SMK Kampong Chengal.
myMetro 22 Okt 2011

Australia singkir Wales untuk gangsa

AUCKLAND: Australia menamatkan kempen pada kejohanan Ragbi Piala Dunia penuh bergaya apabila mengatasi Wales 21-18 pada perlawanan penentuan tempat ketiga di Eden Park, semalam.
Wallabies terus berjuang sekalipun kehilangan bintang back, Quade Cooper dan Kurtley Beale kerana kecederaan pada babak pertama untuk menewaskan Wales menerusi permainan bertahan menakjubkan selepas kedua-dua pasukan masing-masing menjaringkan dua try.

Ia adalah kemenangan pertama Australia di Eden Park sejak 1986, tetapi tidak menentang pencabar Piala Bledisloe, New Zealand, yang akan berdepan Perancis di gelanggang keramat mereka pada perlawanan akhir esok.
Kedua-dua pasukan mengalami kekalahan memilukan pada separuh akhir hujung minggu lalu, Wallabies tunduk 6-20 di tangan All Blacks manakala Wales kalah 8-9 kepada Perancis selepas bermain dengan 14 pemain bagi tempoh sejam terakhir.

Kemenangan itu bermakna juara dua kali Australia merangkul pingat gangsa pertama mereka pada Piala Dunia selepas tumpas 21-22 kepada Wales pada perlawanan penentuan tempat ketiga di kejohanan edisi sulung pada 1987 di New Zealand.

“Kami hadir ke kejohanan ini dengan matlamat untuk muncul juara tapi kami tidak cukup bagus ketika menentang New Zealand. Pemain-pemain masih berasa kecewa,” kata jurulatih Australia, Robbie Deans.

Pemain inside centre Australia, Berrick Barnes dan No 8, Ben McCalman kedua-duanya menjaringkan try manakala Barnes turut menambah drop goal lewat dan pemain sayap James O'Connor menyempurnakan satu conversion dan dua penalti.

Pemain sayap, Shane Williams dan fullback Leigh Halfpenny menjaringkan try buat Wales manakala flyhalf James Hook membuka jaringan pasukan itu dengan penalti babak pertama dan penggantinya, Stephen Jones melengkapkan penalti kedua dan conversion lewat permainan. - Agensi
myMetro 22 Okt 2011

United ‘takut’

MANCHESTER: Pemain pertahanan Manchester City, Micah Richards percaya Manchester United ‘takut’ untuk berdepan musuh setempat mereka ketika kedua-dua kelab itu membuat persiapan rapi menjelang pertembungan dinanti-nantikan pada Liga Perdana Inggeris, malam esok.
Richards percaya selepas sekian lama dibayangi kehebatan United, City yang kini mendahului liga berada di landasan tepat untuk menyekat keinginan pasukan jirannya itu daripada terus menguasai kancah bola sepak Inggeris.

“United sekarang tahu tapi tidak mahu menyatakannya bahawa kami adalah ancaman terbesar mereka,” kata pemain antarabangsa England berusia 23 tahun itu.
Richards juga gembira dengan kejayaan City menjulang Piala FA musim lalu yang memaksa penyokong United menanggalkan kain rentang di Old Trafford yang mengejek kegagalan mereka memenangi trofi selama 35 tahun.

Zamri pamer aksi mantap

PELUANG kedua yang diberikan kepada Mohd Zamri Baba untuk bersaing di Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia Shell Advance menerusi tiket wild card nyata tidak disia-siakan begitu saja apabila dia mencatatkan masa memberangsangkan pada sesi latihan bebas semalam.
Mohd Zamri yang bersaing dalam kategori Moto2, mencatatkan masa 2 minit 10.598 saat pada sesi latihan kedua untuk menduduki tempat ke-26 daripada 39 pelumba, 0.5s lebih pantas berbanding catatan masa sesi latihan kedua tahun lalu.

Pelumba berusia 28 tahun itu jelas dilihat amat selesa mengendalikan jentera Moriwaki yang baru apabila pada satu ketika berada dalam kelompok 20 pelumba terbaik.
“Hari ini (semalam) saya melakukan sesi latihan dengan menguji dua jenis tayar berbeza yang tidak pernah digunakan pada mana-mana saingan sebelum ini.

“Krew pasukan akan menganalisis tayar manakah yang paling sesuai untuk saya gunakan pada pusingan kelayakan esok. Yang pasti cengkaman kedua-dua tayar ini amat bagus.

“Dan secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi saya kerana dapat melakukan catatan masa lebih pantas berbanding tahun lalu,” katanya yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 pada musim lalu.

Sementara itu, rakan sepasukan Mohd Zamri yang juga beraksi menerusi tiket wild, Hafizh Syahrin Abdullah menduduki tempat ke-33 dengan catatan 2:11.321s yang dilakukan pada sesi latihan bebas kedua.

Mengulas prestasinya semalam, Hafizh mengakui dia agak tertekan dan gementar apabila turun beraksi pada sesi latihan bebas semalam.
MyMetro 22 Okt 2011

Zulfahmi ke-15

NASIB berbeza dialami dua pelumba negara bagi kategori 125cc iaitu Muhammad Zulfahmi Khairudddin serta Muhammad Farid Badrul Hisham pada sesi latihan bebas Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Ketika Zulfahmi dilihat mempamerkan tunggangan memberangsangkan apabila menduduki tempat ke-15 daripada 32 pelumba dengan catatan masa terpantas 2 minit 17.175 saat pada sesi latihan bebas kedua, Muhammad Farid yang bertanding menerusi tiket wild card terjatuh pada selekoh ketiga di sesi latihan kedua, sekali gus gagal mencatat masa terbaik.

Zulfahmi yang beraksi pada musim penuh kedua bersama pasukan AirAsia SIC Ajo Racing, berjaya memperbaiki catatan sepusingan lebih dua saat pantas pada sesi latihan kedua selepas hanya mencatat 2:19.062s pada sesi latihan pertama.
“Pada sesi latihan sebelah pagi saya agak bergelut dengan jentera apabila suspensi motosikal agak keras. Bagaimanapun pada sesi latihan bebas kedua, kami dapat mencari jalan penyelesaian dan akhirnya membolehkan saya memperbaiki catatan masa lebih pantas dua saat,” katanya.

Meskipun Zulfahmi mempamerkan rekod cemerlang ketika litar basah, pelumba berusia 20 tahun itu tetap mengharapkan cuaca lebih baik pada perlumbaan sebenar, Ahad ini. Farid pula sekadar menduduki tempat ke-31 dengan catatan masa 2:19.662s pada sesi latihan kedua selepas tidak mencatat sebarang masa pada sesi latihan pertama kerana masalah jentera.

“Segala-galanya tidak menjadi hari ini (semalam), selepas sesi latihan pertama jentera saya mengalami masalah manakala pada sesi kedua, saya terjatuh kerana mahu mengelak pelumba di hadapan,” katanya.
MyMetro 22 okt 2011

Baddrol benam cabaran Mynmar

PEMAIN gantian, Baddrol Bakhtiar pencetus kebangkitan skuad bawah 23 tahun negara ketika menewaskan Myanmar 2-1 pada perlawanan kedua kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di Stadium My Dinh, Hanoi semalam.
Malaysia yang ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan Kyaw Ko Ko bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol penyerang Syahrul Azwari Ibrahim dan Baddrol.

Kemenangan itu melegakan pengendali negara, Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya tumpas 1-3 kepada Uzbekistan dalam perlawanan pertama Rabu lalu.
“Saya tidak menurunkan enam pemain utama hari ini kerana mahu memberi peluang kepada yang lain untuk beraksi. Saya hanya menurunkan kesebelasan pilihan ketiga kita dan ternyata persembahan mereka tidak menghampakan, kecuali sedikit gugup di awal permainan sehingga membenarkan Myanmar menjaringkan gol.