Saturday, October 22, 2011

United ‘takut’

MANCHESTER: Pemain pertahanan Manchester City, Micah Richards percaya Manchester United ‘takut’ untuk berdepan musuh setempat mereka ketika kedua-dua kelab itu membuat persiapan rapi menjelang pertembungan dinanti-nantikan pada Liga Perdana Inggeris, malam esok.
Richards percaya selepas sekian lama dibayangi kehebatan United, City yang kini mendahului liga berada di landasan tepat untuk menyekat keinginan pasukan jirannya itu daripada terus menguasai kancah bola sepak Inggeris.

“United sekarang tahu tapi tidak mahu menyatakannya bahawa kami adalah ancaman terbesar mereka,” kata pemain antarabangsa England berusia 23 tahun itu.
Richards juga gembira dengan kejayaan City menjulang Piala FA musim lalu yang memaksa penyokong United menanggalkan kain rentang di Old Trafford yang mengejek kegagalan mereka memenangi trofi selama 35 tahun.


“Dapat menurunkan kain rentang itu adalah satu kejayaan, kami akhirnya boleh bergembira,” kata Richards. “Kami bukannya mahu menyatakan kami akan menang mana-mana perlawanan tapi mereka memanggil kami jiran yang kecoh. Saya fikir mereka takut.” Richards berkata, dia menjangkakan pertarungan sengit di Old Trafford esok memandangkan City memburu kemenangan pertama liga ke atas United sejak 2008.

“Empat pertembungan setempat sebelum ini tidaklah begitu sengit,” katanya. “Tiga atau empat tahun lalu ia kurang menarik kerana terlalu banyak kekasaran di kalangan pemain.

“Ia seperti sudah menjadi kebiasaan apabila kami bertandang ke United dan tewas. Tapi tahun lalu atau dua tahun lalu kami beraksi di United dan kadang-kadang tampak seperti pasukan lebih bagus jadi ini membuktikan kami sudah meningkat dalam tempoh singkat.” Sementara itu, pemain pertahanan Manchester United, Chris Smalling menganggap pertembungan jiran setempat esok sebagai perlawanan terbesar dalam bola sepak Inggeris. “Ia perlawanan yang ingin saya menangi berbanding perlawanan lain,” kata Smalling, 21. “Saya fikir ini adalah perlawanan terbesar dan pertemuan setempat terbesar yang kami hadapi sekarang.

“City membuat pelaburan besar membeli pemain baru dan semakin meningkat dengan prestasi hebat musim ini.
“Sememangnya apabila anda berada di bandar raya ini, semua orang akan bercakap mengenai pertembungan setempat Manchester.” - AFP

myMetro 22 Okt 2011

No comments:

Post a Comment