GEORGETOWN: Tubuhnya kurus dan kecil manakala seluruh badannya dipenuhi
kesan cubitan dan kudis dipercayai akibat kecederaan lama disyaki
didera.
Begitulah penderitaan ditanggung seorang kanak-kanak perempuan berusia
tujuh tahun sebelum dia diselamatkan anggota polis, Sabtu lalu.
Kanak-kanak malang itu terpaksa menanggung azab
berkenaan sejak
Aidilfitri lalu apabila dia diambil ibunya daripada bapanya untuk
tinggal dengan mereka di sebuah flat di Jalan Sungai, di sini.
Menurut sumber, polis menerima maklumat daripada orang awam mendakwa
berlaku penderaan kanak-kanak kira-kira jam 1 tengah hari sebelum
anggota polis bergegas ke rumah terbabit.
“Polis menemui kanak-kanak berkenaan yang berbadan kurus dan dipenuhi
kesan kudis serta parut baru dan lama dipercayai dicubit dan kemungkinan
dipukul.
“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan nenek kanak-kanak
terbabit yang berusia 60-an dipercayai menjadikan cucunya itu sebagai
sasaran melepaskan geram,” katanya.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti
bentuk penderaan yang dilakukan nenek kanak-kanak berkenaan sama ada
dia hanya mencubit atau turut memukul menggunakan sebarang senjata.
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan sebelum ini tinggal bersama bapanya
berikutan ibu dan bapanya bercerai, tetapi diambil kembali ibunya untuk
tinggal bersama selepas Aidilfitri lalu.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu yang masih belajar di sebuah sekolah
rendah dikatakan tidak disenangi neneknya yang sentiasa melepaskan geram
dengan menjadikan kanak-kanak terbabit sebagai mangsa.
Sumber berkata, mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dia kini ditempatkan di wad kanak-kanak bagi rawatan lanjut.
“Siasatan lanjut juga mendapati kanak-kanak terbabit turut tinggal
serumah dengan bapa saudaranya yang sebelum ini pernah ditahan kerana
kesalahan rogol,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan
Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga
penahanan nenek mangsa.
“Selepas mengambil keterangannya, kita membebaskan nenek mangsa dengan
jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta
Kanak-kanak 2001,” katanya.
myMetro
18 Okt 2011
Kataku: Tergamaknya manusia menganiaya insan yang tidak berdaya, Ya Allah Kau jauhkan aku dari menganiaya makhlukMu walaupun ianya hanya seekor semut.
No comments:
Post a Comment