BAYI DIKELAR DALAM ASRAMA
BETONG: Tindakan seorang pelajar
perempuan tingkatan empat membunuh dengan mengelar bayi yang baru
dilahirkan sehingga terburai perut di dalam asrama sebuah sekolah
menengah di sini, kelmarin dikatakan akibat hilang pertimbangan selepas
hasratnya untuk menjaga bayi itu dan berkahwin dengan teman lelakinya
ditentang keras keluarga masing-masing.
Difahamkan, kekasih mangsa berusia 27
tahun dikatakan bersetuju mengahwini pelajar berusia 16 tahun itu
selepas menyedari gadis itu mengandung hasil keterlanjuran mereka, namun
mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing dipercayai kerana
faktor bawah umur.
Berikutan itu, pelajar terbabit
dikatakan ‘naik hantu’ lalu membunuh bayi perempuan baru dilahirkan
dengan mengelar sebanyak tujuh kali badan bayi malang itu menggunakan
pisau pemotong sayur dalam bilik asrama sekolahnya.
Menurut sumber, maklumat awal daripada
keluarga pasangan terbabit menjelaskan, mereka menyatakan hasrat untuk
berkahwin beberapa hari sebelum kejadian.
“Mungkin
disebabkan tekanan perasaan dihadapi selepas hasrat mangsa untuk
berkahwin dengan lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung
ditolak keluarga kedua-dua belah pihak, pelajar terbabit mengambil
jalan pintas dengan membunuh bayi tidak berdosa itu bagi melepaskan
kemarahan,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan, seorang
pelajar bertindak mengelar bayi selepas melahirkannya dalam bilik
asrama kira-kira jam 7.40 pagi kelmarin.
Kejadian menggemparkan itu berlaku
apabila bayi dilahirkan cukup sifat sebelum dia mengelar bayinya yang
masih hidup itu dengan pisau pemotong sayur sepanjang 15 sentimeter.
Sebelum kejadian, pelajar terbabit
dikatakan gagal hadir ke kelas sehingga menimbulkan rasa curiga seorang
guru lelaki berusia 41 tahun yang kemudian ke bilik asramanya.
Sebaik tiba di bilik pelajar berkenaan,
guru itu terkejut apabila mendapati satu mayat bayi perempuan cukup
sifat berlumuran darah di atas lantai berhampiran katil suspek.
Sekurang-kurangnya tujuh kesan kelaran
ditemui di belakang tubuh, leher, tangan, rusuk selain perut bayi itu
sehingga menyebabkan isi perut terburai.
Susulan kejadian itu, guru lelaki yang
menjumpai mayat bayi terbabit membuat laporan sebelum sepasukan anggota
dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bergegas ke lokasi kejadian.
Sementara itu, polis mendapat kebenaran
Mahkamah Majistret Sri Aman, di sini, bagi menahan reman pelajar
terbabit yang masih dirawat di Hospital Betong selama tujuh hari bermula
hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret
Nazari Bujang bagi membolehkan polis menjalankan siasatan termasuk
mengumpul maklumat mengenai kejadian itu.
Difahamkan, pada masa sama, polis turut
berusaha menjejak seorang lelaki yang juga kekasih kepada pelajar
berkenaan bagi membantu siasatan.
“Dua kertas siasatan dibuka mengikut
Seksyen 302, Kanun Keseksaan ke atas pelajar terbabit kerana didakwa
membunuh, manakala teman lelakinya, Seksyen 376, kanun sama kerana
merogol,” katanya yang mengakui tidak ada sebarang tangkapan dilakukan
sehingga kini.
No comments:
Post a Comment