Friday, October 21, 2011

Kumpulan diberkas selepas bebaskan mangsa yang diculik



KUALA LUMPUR: Sekumpulan enam orang, termasuk seorang wanita, yang menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapat wang tebusan RM350,000 ditangkap dalam tempoh tiga jam selepas membebaskan beliau 12 jam lebih awal di Selayang, Selasa lalu.
Difahamkan, dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 41 tahun dan memiliki premis perniagaan insurans di Jalan Kuching itu, baru saja menghantar anaknya ke sekolah sebelum berjoging di kawasan berdekatan rumahnya di Batu Caves. Sumber berkata, ketika dalam perjalanan pulang, beliau didatangi lima lelaki bersenjatakan parang dan pistol di hadapan rumahnya sebelum memaksanya menaiki sebuah Proton Wira. 'Mangsa dilarikan ke kawasan Taman Metro Prima, Kepong, dan disembunyikan dalam kereta berkenaan sehingga 10 pagi di kawasan tempat letak kereta di perumahan itu. 'Selepas yakin diri mereka tidak diekori, kumpulan itu membawa mangsa ke sebuah unit rumah flat di kawasan perumahan berkenaan sebelum mangsa dipukul kerana enggan memberikan nombor telefon keluarga terdekatnya,' katanya. Menurut beliau, selepas memperoleh nombor telefon isteri mangsa, kumpulan terbabit menghubungi wanita itu menuntut wang tebusan RM350,000 jika mahu suaminya dibebaskan. Sebaik menerima panggilan daripada kumpulan itu, isteri mangsa menghubungi polis. Beliau berkata, dari 3 petang hingga 7 malam pada hari kejadian, kumpulan itu menukar tiga lokasi bagi isteri mangsa menyerahkan wang tebusan bagi mengelak dikesan polis. 'Bagaimanapun, selepas mereka mengetahui isteri mangsa membuat laporan polis, kumpulan itu membebaskan mangsa tanpa mengambil wang tebusan pada 7 malam di tepi jalan di Kepong. 'Hasil maklumat diberikan mangsa, kumpulan itu berjaya dijejaki. 'Pada 10 malam, lima lelaki dan seorang wanita berusia 20-an dicekup di sekitar Kepong, bagaimanapun ketika ditahan polis tidak menemui sebarang senjata,' kata sumber itu. Menurut sumber itu lagi, mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Kelmarin, enam suspek dibawa ke Mahkamah Selayang bagi mendapatkan perintah tahanan reman. -- Harian Metro.

No comments:

Post a Comment