Friday, October 21, 2011

Gaddafi dilapor terbunuh di Sirte

TRIPOLI: Bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi semalam dilaporkan terbunuh selepas berlaku pertempuran di bandar kelahirannya di Sirte.
Mengesahkan demikian, jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Encik Abdul Hafez Ghoga, berkata:
'Kami mengumumkan kepada dunia bahawa Gaddafi telah dibunuh di tangan revolusi. 'Ini satu saat yang bersejarah. Ini menandakan berakhirnya kezaliman dan kepimpinan diktator.' Awal dari itu, Komander NTC, Encik Momhemed Buras Ali Al-Maknee, berkata sekumpulan pejuang dari bandar barat Misrata telah menangkap Encik Gaddafi, 69 tahun, selepas pertempuran itu. Namun, pemimpin itu kemudian dilaporkan mati akibat cedera parah. Satu rakaman video telefon bimbit menunjukkan mayat Encik Gaddafi, dengan darah mengalir daripada muka dan tengkuknya berlubang akibat ditembusi peluru. Mayat itu kemudian dilihat diheret oleh pejuang NTC dan diangkat ke atas sebuah trak. Turut dilaporkan terkorban ialah anak lelaki Encik Gaddafi, Encik Mutassim.
Susulan berita kematian itu tersebar, rakyat negara itu meraikan dengan membunyikan hon dan melepaskan tembakan bertali arus ke udara, menandakan kejatuhan pemerintahan 42 tahun pemimpin paling lama negara itu. Awal dari itu, pejuang Libya dilaporkan telah mengambil alih kubu terakhir yang dipertahankan pengikut setia Encik Gaddafi di Sirte, menjadikan kesemua kampung halaman pemimpin negara yang digulingkan itu berada di bawah kawalan mereka. Wartawan yang berada di tempat kejadian berkata, serangan terakhir bermula pada 8 pagi semalam. Sebelum serangan itu, lima kenderaan yang dipenuhi dengan penyokong Encik Gaddafi kelihatan cuba melarikan diri menerusi laluan lebuh raya. Bagaimanapun, mereka terbunuh dalam serangan yang dilakukan pejuang revolusi negara itu. Encik Gaddafi telah melarikan diri dari Tripoli pada 23 Ogos lalu apabila pasukan pejuang NTC menawan ibu kota itu. Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkapan ke atas Encik Gaddafi, anak lelakinya, Saif Al-Islam, dan ketua agensi perisikan, Encik Abdullah Al-Senussi, atas tuduhan jenayah ke atas kemanusiaan. -- Agensi.
http://cyberita.asia1.com.sg/mluarnegara/story/0,6879,199751,00.html?

No comments:

Post a Comment