Friday, October 21, 2011

Remaja maut disambar petir ketika berteduh bawah pokok



PENDANG (Kedah): Seorang remaja maut akibat disambar petir ketika berteduh di bawah pokok kelapa di Kampung Alor Kumbang, Bukit Jenun di sini, kelmarin.
Kejadian pada 6 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohd Hilmi Omar, 17 tahun, melihat bapa saudaranya, Encik Awang Daud, 58 tahun, membajak sawah kira-kira 300 meter dari rumahnya. Encik Awang berkata, sebelum itu, mangsa keluar dari rumahnya pada 4 petang untuk membantunya di sawah dan kemudian pulang semula ke rumah kerana hujan lebat. 'Setengah jam kemudian kami keluar semula ke sawah kerana hujan sudah berhenti. Ketika itu arwah berdiri di bawah pokok kelapa manakala saya pergi membajak sawah. 'Ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan pada masa saya membajak sawah saya sempat menoleh ke arah Mohd Hilmi dan melihat dia masih berdiri di bawah pokok kelapa itu. 'Selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi petir dan apabila saya menoleh ke arahnya, saya dapati arwah jatuh tertiarap dalam sawah,' katanya ketika ditemui pemberita di sini. Tambah Encik Awang, beliau bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anak saudaranya masih bernafas dalam pangkuannya. 'Saya kemudian memangku mangsa dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah tetapi mangsa sudah meninggal dunia akibat melecur teruk di bahagian pinggang,' katanya. Beliau kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa mangsa, Encik Omar Daud, 46 tahun dan Cik Sarimah Osman, 38 tahun, serta penduduk kampung. Encik Omar berkata, mayat anaknya dihantar ke Hospital Yan dan hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan melecur di perut manakala baju yang dipakainya terbakar. 'Arwah anak sulung daripada empat beradik itu rajin bekerja mencari wang saku selain membantu menyara keluarga. Kami reda walaupun kehilangan seorang anak yang baik,' katanya. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment