Friday, October 21, 2011

Bangkok tidak boleh dilindungi dari banjir

Bangkok tidak boleh dilindungi dari banjir


BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Yingluck Shinawatra, semalam berkata adalah mustahil melindungi Bangkok daripada dilanda banjir.
Sambil menyifatkan keadaan sekarang sebagai 'krisis negara,' Cik Yingluck berkata: 'Kita tidak boleh menyekat pengaliran air buat selama-lamanya. Lagi lama kita sekat, lagi tinggi air itu akan naik. Kita perlu kawasan yang air boleh disalurkan agar ia dapat mengalir terus ke laut.' Sebelum ini, kerajaan telah mengukuhkan benteng beg pasir bagi mengelakkan air banjir daripada memasuki Bangkok. Bagaimanapun, usaha memastikan ibu kota yang didiami 12 juta penduduk itu kekal kering telah disukarkan oleh air laut yang sedang pasang. 'Air banjir datang dari setiap arah dan kita tidak dapat kawal keadaan ini kerana air itu terlalu besar. Kita akan cuba memberi amaran kepada para penduduk. 'Masalah ini amat besar. Ini krisis negara, jadi saya harap dapat kerjasama daripada setiap pihak. Tindakan menyalahkan satu sama lain tidak akan menghuraikan masalah,' kata Cik Yingluck yang baru menjadi Perdana Menteri negara itu dua bulan lalu.
Hujan lebat yang turun sejak tiga bulan lalu telah mengorbankan 320 orang, memusnahkan rumah dan menjejas sara hidup jutaan penduduk, sebahagian besarnya di wilayah utara dan tengah Thailand. Parti pembangkang, Parti Demokrat, menggesa kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat bagi memudahkan pemindahan penduduk, di samping menghalang mereka memusnahkan benteng bagi meredakan banjir di kawasan mereka sendiri. Sementara itu, industri komputer peribadi yang sudah mengalami penurunan permintaan, kini dilaporkan terjejas ekoran banjir teruk di Thailand kerana pengeluaran komponen penting iaitu pemacu storan komputer telah dihentikan. Kilang yang menghasilkan satu pertiga daripada pemacu keras di negara itu sudah ditutup buat sementara. Sembilan syarikat pengeluar kereta Jepun, termasuk Toyota Motor Corp, Nissan Motor Co dan Honda Motor Co, pula dilaporkan tidak dapat menghasilkan sekitar 6,000 kereta setiap hari ekoran banjir itu. Syarikat kereta Jepun menghasilakn 1.6 juta kenderaan di Thailand tahun lalu. -- Agensi.



No comments:

Post a Comment