Saturday, October 22, 2011

Zulfahmi ke-15

NASIB berbeza dialami dua pelumba negara bagi kategori 125cc iaitu Muhammad Zulfahmi Khairudddin serta Muhammad Farid Badrul Hisham pada sesi latihan bebas Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Ketika Zulfahmi dilihat mempamerkan tunggangan memberangsangkan apabila menduduki tempat ke-15 daripada 32 pelumba dengan catatan masa terpantas 2 minit 17.175 saat pada sesi latihan bebas kedua, Muhammad Farid yang bertanding menerusi tiket wild card terjatuh pada selekoh ketiga di sesi latihan kedua, sekali gus gagal mencatat masa terbaik.

Zulfahmi yang beraksi pada musim penuh kedua bersama pasukan AirAsia SIC Ajo Racing, berjaya memperbaiki catatan sepusingan lebih dua saat pantas pada sesi latihan kedua selepas hanya mencatat 2:19.062s pada sesi latihan pertama.
“Pada sesi latihan sebelah pagi saya agak bergelut dengan jentera apabila suspensi motosikal agak keras. Bagaimanapun pada sesi latihan bebas kedua, kami dapat mencari jalan penyelesaian dan akhirnya membolehkan saya memperbaiki catatan masa lebih pantas dua saat,” katanya.

Meskipun Zulfahmi mempamerkan rekod cemerlang ketika litar basah, pelumba berusia 20 tahun itu tetap mengharapkan cuaca lebih baik pada perlumbaan sebenar, Ahad ini. Farid pula sekadar menduduki tempat ke-31 dengan catatan masa 2:19.662s pada sesi latihan kedua selepas tidak mencatat sebarang masa pada sesi latihan pertama kerana masalah jentera.

“Segala-galanya tidak menjadi hari ini (semalam), selepas sesi latihan pertama jentera saya mengalami masalah manakala pada sesi kedua, saya terjatuh kerana mahu mengelak pelumba di hadapan,” katanya.
MyMetro 22 okt 2011

No comments:

Post a Comment